fbpx

Arahan MAINPP ikut garis panduan, bimbang mudarat lebih besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN SALIM

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berhak untuk mengeluarkan arahan kepada pihak kariah berhubung larangan individu atau penceramah yang mengajar tanpa sebarang pentauliahan di negeri ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, masyarakat perlu memahami bahawa MAINPP selaku pihak berkuasa agama negeri bertanggungjawab memastikan institusi masjid dan surau berperanan sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat Islam setempat.

Menurutnya, MAINPP berhak memberi apa jua arahan kepada pihak kariah supaya mematuhi peraturan yang termaktub di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri ini.

“Arahan ini selari dengan kaedah-kaedah fiqh yang memberi garis panduan bagi para ulamak dalam merumuskan hukum syarak untuk difatwakan kepada masyarakat.

“Antara kaedah yang berkaitan termasuklah kaedah Sadd al-Zaraie’ iaitu menutup jalan yang membawa kepada keburukan dan kedua, menghindari mafsadah (perkara-perkara yang merosakkan) didahulukan daripada usaha memperoleh maslahah atau kepentingan manusia,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini

Beritahu beliau, kaedah-kaedah ini amat sesuai diguna pakai dalam konteks larangan mereka yang tidak bertauliah daripada menyampaikan kuliah dan mengajar di masjid serta surau di negeri ini.

“Memang tidak dinafikan bahawa kuliah agama dan pengajaran yang disampaikan oleh asatizah dan agamawan di masjid dan surau ada manfaatnya bagi masyarakat Islam setempat untuk menambahkan ilmu dan kefahaman agama mereka.

” Tetapi, jika difikir dengan lebih mendalam maka didapati aktiviti ceramah agama dan kuliah di masjid dan surau, jika tidak dikawal melalui peraturan tertentu, maka ia boleh mendatangkan kemudaratan atau keburukan yang lebih besar daripada manfaat yang diperolehi.

“Ini termasuklah kemungkinan berlaku perbalahan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam setempat akibat sentimen politik kepartian yang melulu terutama pada musim pilihan raya umum yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Beliau mengulas mengenai larangan kepada pihak penganjur daripada menjemput 16 individu termasuk pendakwah bebas popular, Datuk Mohd. Kazim Elias untuk menyampaikan ceramah kerana ketiadaan tauliah mengajar MAINPP semalam.

Tambahnya, larangan tersebut tidak akan menghalang umat Islam daripada meningkatkan pengetahuan agama mereka kerana masih ramai lagi asatizah dan agamawan bertauliah boleh dijemput mengajar atau menyampaikan kuliah di masjid atau surau masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI