fbpx

PRU15: Noh tidak akan khianati parti biarpun kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh (tengah depan) bersama Habibah (dua kiri) pada pelancaran jentera BN di Tanjong Karang, hari ini

KUALA SELANGOR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar yang tidak terpilih sebagai calon kerusi Parlimen Tanjong Karang tidak akan menjadi pengkhianat sebaliknya terus menyokong dan memperjuangkan parti.

Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, beliau akur dan berlapang dada dengan keputusan pucuk pimpinan parti biarpun agak terkilan tidak dicalonkan.

“Namun, saya sebagai ‘orang parti’ berikrar akan terus kekal dan setia bersama perjuangan BN.

“Biarpun tidak terpilih, saya tidak sesekali meninggalkan parti dan ia prinsip yang dipegang sejak lebih 27 tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar khas pelancaran jentera BN di Padang Astaka, Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merungkai persoalan di hadapan ribuan penyokong dengan mengumumkan Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof sebagai calon kubu kuat BN itu.

Noh menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak 1995.

Jelas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau bersama jentera akan melakukan yang terbaik dan berusaha memastikan kemenangan di Tanjong Karang.

Tambahnya, beliau turut akan hadir untuk memberi sokongan pada hari penamaan calon esok.

“Walaupun tidak mendapat pas kebenaran masuk ke pusat penamaan calon, saya bertekad bersama jentera memberikan sokongan moral kepada calon Parlimen Tanjong Karang.

“Bagi saya, kalau tak dapat masuk dalam dewan pun tak apa, tapi saya tetap datang beri sokongan dan kalau terpaksa duduk bawah pokok pun lagi senang,” katanya.

Sementara itu, Habibah berkata, beliau berterima kasih kepada Noh yang memberi peluang dan laluan bertanding di kerusi tersebut.

“Saya mengenali beliau selama lebih enam penggal dan bersama jentera sejak sekian lama.

“Pengalaman dan tunjuk ajar beliau akan digunakan sebaik mungkin bagi mempertahankan kerusi ini,” katanya.

Pada PRU14, Noh yang juga calon BN-UMNO memperoleh majoriti 1,970 undi selepas menewaskan Zulkafperi Hanapi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Pas iaitu Nor Az Azlan Ahmad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI