SELEPAS hanya enam minggu berkhidmat sebagai Perdana Menteri (PM) Britain, Liz Truss telah mengumumkan peletakan jawatan.
Peletakan jawatan tersebut telah menyaksikan sejarah baharu tercipta apabila Rishi Sunak dipilih untuk memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara itu.
Sunak yang berusia 42 tahun dan beragama Hindu itu memecah tradisi Britain apabila menjadi PM Britain bukan kulit putih pertama, selain termuda dalam tempoh 200 tahun.
Sunak yang merupakan salah seorang ahli politik terkaya di Westminster menjadi PM ketiga negara tersebut pada tahun ini.
Beliau diangkat menjadi pemimpin baharu parti pemerintah, Parti Konservatif selepas pencabarnya, Penny Mordaunt gagal untuk mendapatkan pencalonan mencukupi daripada wakil rakyat parti tersebut.
Sunak rasmi dilantik menjawat jawatan itu setelah bertemu dengan Raja Charles III di Istana Buckingham.
“Saya rasa telah mendapat penghormatan dan bangga kerana meraih sokongan daripada sesama ahli parlimen Parti Konservatif serta dipilih sebagai pemimpin.
“Ini merupakan penghormatan terbesar dalam hidup saya dan saya akan mengabdikan diri kepada parti yang saya cintai serta membalas budi kepada negara yang telah banyak berjasa,” kata Sunak setelah dilantik menjawat jawatan tersebut.

Sunak menjelaskan, hala tuju dan dasar kepimpinannya adalah untuk mengatasi krisis ekonomi secara lebih mendalam.
Beliau mengakui bahawa PM sebelumnya, Truss melakukan kesilapan dan Sunak berjanji untuk memperbaikinya.
“Beliau tidak salah apabila mahu meningkatkan pertumbuhan dalam negara dan saya mengagumi kesungguhannya untuk membawa angin baharu dalam pemerintahannya, namun ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya telah dipilih menjawat jawatan ini dan akan membetulkan kesilapan itu. Ia bermula serta-merta,” kata Sunak.
Tambahnya, dia akan meletakkan kestabilan dan keyakinan ekonomi sebagai agenda utama kerajaan dan ini bermakna akan ada keputusan yang sukar untuk dibuat.
Sunak merupakan bekas menteri kewangan dan beliau berada di posisi kedua di belakang Truss, dalam pemilihan ketua Parti Konservatif
bulan lalu.
Beliau muncul sebagai calon utama selepas bekas Perdana Menteri, Boris Johnson mengumumkan tidak akan bertanding.
Sunak mempunyai penyokong yang paling bersifat terbuka dalam kalangan ahli parlimen Konservatif.
Dalam pilihan raya ketika menentang Truss sebelum ini, beliau telah memberi amaran bahawa rancangan cukai lawannya itu akan menenggelamkan ekonomi Britain.
Namun, dia gagal meyakinkan ahli partinya dan kalah dengan 21,000 undi.

Menyorot tentang latar belakangnya, ibu bapa Sunak berhijrah ke England dari Afrika Timur pada tahun 1960-an dan kedua-duanya berketurunan India.
Berdasarkan latar belakang keluarganya, ibu bapanya merupakan pakar bedah dan ahli farmasi.
Sunak dilahirkan di Southampton, Britain pada tahun 1980 dan mendapat pendidikan dari sekolah elit sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford diikuti Universiti Stanford, California, Amerika Syarikat (AS) dengan biasiswa Fulbright.
Sebelum penglibatannya dalam politik, Sunak adalah seorang jurubank Goldman Sachs antara 2001 hingga 2004. Beliau kemudiannya bekerja untuk agensi Pengurusan Dana Pelaburan Kanak-Kanak dan beberapa syarikat pelabur sebagai penganalisis bank pelaburan sebelum menyertai politik pada tahun 2014.
Sunak disifatkan sebagai ahli parlimen British paling pantas bergelar PM iaitu dalam masa tujuh tahun sahaja.
Sunak menjadi ahli parlimen pada tahun 2015 dan dilantik menjadi Menteri Kewangan Britain pada Februari 2020.
Pada awal beliau memegang jawatan itu, Sunak terpaksa berdepan pandemik Covid-19 dan perlu memikirkan pelbagai cara untuk menyelamatkan ekonomi Britain sekali gus telah melonjakkan popularitinya.
Di India, Sunak lebih dikenali kerana isterinya, Akhshata Murty yang merupakan anak kepada taikun India, Narayana Murty yang juga merupakan pengasas bersama kumpulan teknologi maklumat, Infosys.
Awal tahun ini, Sunday Times Rich List menyenaraikan Sunak dan Murty sebagai 250 individu terkaya Britain dan pasangan itu dianggarkan mempunyai kekayaan bersih AS$826 juta (RM3.9 bilion). Malah, jumlah kekayaan
Sunak dan isterinya itu dikatakan dua kali ganda daripada Raja Charles III dan isterinya Camila.
Pasangan itu juga dikatakan memiliki empat hartanah di seluruh dunia dan kini menetap di sebuah rumah agam di Kensington bernilai AS$7.4 juta (RM35 juta).
Mereka berdua juga terkenal sebagai ‘crazy rich’ tetapi mempunyai gaya yang ringkas dan sangat jarang mempamerkan kemewahan.

Selain itu, Sunak juga salah seorang ahli politik di Britain yang paling popular di media sosial dan mendapat jolokan sebagai ‘Rishi Dishy’.
Di sebalik popularitinya, pembangkang sering mengkritik Sunak sebagai keturunan pendatang yang tidak memahami cara menguruskan Britain.
Malah, sehingga tahun lalu, beliau masih memegang Kad Hijau AS dan mereka mempersoalkan kesetiaannya kepada Britain.
Sunak dalam satu temu bual bersama BBC bahkan mengakui, pengalamannya tinggal di California telah banyak membentuk dirinya hari ini iaitu pemimpin mahir bisnes.
“Saya pernah tinggal dan bekerja di California, saya rasa itu sebabnya saya bagus dalam pekerjaan. Saya belajar bagaimana menjadi seorang yang mempunyai pemikiran yang berbeza.
“Bila kita memikirkan tentang memacu ekonomi moden, ia berkait inovasi. Daripada pengalaman inilah saya tahu bagaimana membangunkan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, kredibiliti Sunak sedikit tercalar awal tahun ini dengan pendedahan bahawa isterinya yang berpindah ke Britain secara tetap pada tahun 2013, mungkin membayar lebih banyak cukai di luar negara.
Murty telah didaftarkan sebagai penduduk tidak bermastautin di Britain, salah satu taktik untuk mengelak daripada membayar cukai ke atas pendapatan luar negara.
Murty menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa dirinya membayar cukai ke atas semua pendapatan di Britain,
Dari permulaan pencalonannya sebagai PM Britain sehingga beberapa pusingan pertama pilihan raya, Sunak adalah calon yang paling digemari oleh Parti Konservatif. Malah, beliau terus mendapat undian terbanyak dalam beberapa pusingan pertama pemilihan.
Bagaimanapun, beliau terpaksa akur tewas kepada Truss yang ketika itu memenangi undi majoriti parti pada pusingan akhir pemilihan.














