fbpx
BERTEMAKAN Kemuncak Kecemerlangan seiring sambutan Jubli Emas, ASA 2022 menyaksikan 72 kategori termasuk 43 kategori TV dan 22 kategori radio dipertandingkan dalam acara yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

ASA 2022 penanda aras ‘terbaik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANUGERAH Seri Angkasa 2022 (ASA 2022) yang melabuhkan tirai Ahad lalu menyaksikan naskhah Pencipta Pegang Waktu terbitan Primeworks Studios (PWS) dan Gambo.TV diangkat sebagai drama Drama TV Terbaik.

Kemenangan tersebut telah melayakkan mereka menerima hadiah utama Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000, wang tunai RM5,000 beserta trofi.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Program Dalaman, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Nor Shahila Harun Shah.

Selain Drama TV Terbaik, pengarah Pencipta Pegang Waktu iaitu Zainorhisyam Samudin juga diumum sebagai Pengarah Drama TV Terbaik menewaskan enam lagi calon lain secara keseluruhan.

PASUKAN Pencipta Pegang Waktu dan Primeworks Studio bersama wakil Rangkaian Televisyen Media Prima yang menang besar pada majlis ASA 2022 kali ini.

Naskhah siaran TV3 sekitar Julai 2020 tersebut dibintangi pelakon hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Khir Rahman, Que Haidar, Puteri Balqis, Azman Hassan dan Haidin Nasir.

Ganjaran DKD bernilai RM150,000 dianugerahkan kepada penerbit dokumentari Social Playlist, iaitu Herbert Pua Kuo Jie selepas naskhah garapannya diangkat sebagai Dokumentari Terbaik.

ASA 2022 juga menyaksikan pelakon ‘senior’, Eman Manan meraih trofi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama Satu Kampung Dua Orang.

Trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik pula diraih pelakon veteran, Khatijah Tan hasil lakonan mantap dalam drama Rabak.
ASA 2022 juga menyaksikan kategori Skrip Drama TV Terbaik dimenangi Sham Hashim menerusi drama Scammer yang disiarkan Astro Ria.

Kategori Pelakon Lelaki Drama Radio Terbaik dimenangi Beto Kusyairy menerusi drama Anugerah Terindah, manakala, Lisdawati diumum Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik menerusi drama Akhirnya Bahagia Meluruh.

Dalam pada itu, pelakon veteran Fauziah Nawi akhirnya dinobatkan Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah kereta Mitsubishi Xpander.

Para pemenang ASA 2022, termasuk Fauziah Nawi yang pulang dengan hadiah kemenangan hasil kerja keras selama ini.– AMIR KHALID

Kejutan

Fauziah, 69, membikin sebak seluruh dewan apabila mendedahkan impiannya memiliki sebuah kereta sendiri akhirnya dimakbulkan Allah.

“Sebenarnya Allah tengah baik dengan saya. Saya tiada kereta kerana kereta Proton Waja milik arwah anak yang digunakan sebelum ini telah terbakar.

“Saya juga tidak mampu untuk membeli sebuah kereta baharu kerana sudah tua dan tidak boleh membuat pinjaman bank.

“Saya bersyukur Allah makbulkan doa saya. Walaupun saya tidak boleh memandu kerana masalah kesihatan, tetapi kereta yang dimenangi ini akan digunakan oleh cucu saya,” ujar Fauziah dalam keadaan sebak.

Tiga pengacara versatil, Fara Fauzana, Terrence Dass dan Enn Xaviera menceriakan pentas ASA 2022 dengan coleteh bernas.

Bertemakan Kemuncak Kecemerlangan seiring sambutan Jubli Emas, ASA 2022 menyaksikan 72 kategori termasuk 43 kategori TV dan 22 kategori radio dipertandingkan dalam acara yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

ASA 2022 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) kembali selepas enam tahun menyepi.
Penganjuran kali ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya Yayasan Albukhary Foundation, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Telekom Malaysia Berhad, dan Gardenia.

Tidak ketinggalan sebagai penaja adalah Habib Jewel, The Danna Langkawi Resort & Beach, Pelangi Beach Resort & Spa, Langkawi dan Beras Jasmine serta Era.

Dihoskan tiga penyampai, Fara Fauzana, Terrence Dass dan Enn Xaviera. ASA 2022 turut dihangatkan persembahan hebat daripada Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Syafinaz Selamat, Noraniza Idris, Misha Omar, Hazama, Amir Masdi, Haqiem Rusli dan Tajul.

POPULAR