KOTA TINGGI – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Kota Tinggi dan cawangannya berjiwa besar menyambut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai calon bertanding di kerusi parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Kota Tinggi, Muszaidi Makmor berkata, barisan jentera juga telah menyatakan janji akan terus mempertahankan Parlimen Kota Tinggi sebagai kubu BN selain akan memenangkan Mohamed Khaled sebagai calon terbaik di kawasan itu.
“Pehimpunan kami hari ini mahu menyatakan bahawa kami rakan-rakan komponen berjiwa besar menyambut Datuk Seri Mohamed Khaled sebagai calon PRU15.
“Kami di barisan kepimpinan UMNO, MCA dan MIC ingin mengucapkan penghargaan kepada Datuk Halimah Mohamed Sadique yang telah menjalankan tugas dengan baik. Apa pun keputusan parti perlu hormati.
“Kami berjanji kepimpinan yang ada akan pastikan calon kita menang cemerlang di Kota Tinggi,” katanya pada sidang media berkenaan isu berkenaan calon di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi, hari ini.
Muszaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, pihaknya yakin dapat memenangkan Mohamed Khaled dengan majoriti yang lebih kerana beliau bukan calang-calang pemimpin.
Katanya, kekalahan beliau di kerusi Parlimen Pasir Gudang pada PRU14 adalah kerana berlakunya tsunami politik dan siapa pun calon yang diletakkan di sana pada ketika itu pasti akan kalah.
“Tetapi di Kota Tinggi yang memenangkan calon adalah jentera-jentera kita kalau calon bergerak sendirian pun belum tentu menang, dengan adanya kekuatan UMNO, BN, MCA, MIC kita menang bergaya di Kota Tinggi.
“Orang Kota Tinggi tahu pemimpin mana perlu dipilih saya yakin tidak perlu risau sebelum ini mereka (UMNO cawangan) setia dengan parti tidak ada kata hendak tutup pusat daerah mengundi (PDM). – KOSMO! ONLINE