fbpx

Tiada kawalan polis Halloween Itaewon sebab tiada penganjur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suk-yeol dan anggota kabinet melawat tapak perkabungan untuk mangsa rempuhan Halloween di luar stesen kereta api bawah tanah di daerah Itaewon, Seoul semalam. - AFP

SEOUL – Polis Korea Selatan melancarkan siasatan kelmarin untuk mengenal pasti punca kematian lebih 150 orang termasuk sebilangan rakyat asing semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon ketika berpuluh-puluh ribu penduduk memberi penghormatan terakhir kepada mang­sa rempuhan tersebut, lapor akhbar New York Post.

Polis mengerahkan pasukan petugas seramai 475 anggota untuk menyiasat tragedi itu. 

Mereka berjaya mendapatkan kira-kira 50 rakaman sistem te­levisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan akan menganalisis setiap klip video yang di­siarkan di media sosial. Polis juga menemu bual lebih 40 saksi dan mangsa yang terselamat setakat ini, kata pegawai kanan polis, Nam Gu-Jun.

Pegawai polis lain berkata, mereka cuba mencari lokasi dan detik sebenar kesesakan orang ramai bermula dan bagaimana ia berkembang. Sepasukan pegawai polis dan pakar forensik diarah menggeledah kawasan di Itaewaon kelmarin.

“Kerajaan akan menyiasat dengan teliti punca kejadian dan melakukan yang terbaik untuk membuat penambahbaikan sistem yang diperlukan bagi mengelak kemalangan serupa daripada berulang,” kata Perdana Menteri, Han Duck-soo pada permulaan mesyuarat kerajaan mengenai rempuhan itu.

Terdahulu, polis memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai garis panduan khas untuk mengawal orang ramai yang berkumpul.

Daerah Itaewon yang terkenal dengan suasana kosmopolitan, merupakan lokasi paling utama di Korea Selatan untuk acara dan pesta bertemakan Hallo­ween. Perayaan Barat itu semakin po­pular dalam kalangan generasi muda sejak kebelakangan ini.

Dianggarkan seramai 100,000 orang berkumpul di lokasi tersebut untuk perayaan Halloween terbesar sejak pandemik Co­vid-19 melanda Korea Selatan. Antara mangsa rempuhan itu termasuk 26 warga asing.

Perayaan Halloween di Itaewon tidak mempunyai penganjur rasmi. Menurut polis, mereka tidak mempunyai sebarang prosedur khusus untuk menguruskan kehadiran begitu ramai orang semasa acara yang tidak mempunyai penganjur.

Polis menghantar 137 anggota dan pegawai untuk mengawal ketenteraman semasa perayaan pada Sabtu lalu itu. Jumlah itu lebih besar berbanding 34 hingga 90  anggota pada 2017, 2018 dan 2019 menjelang pandemik.

Terdahulu, polis Korea Selatan mengaku tidak mempunyai garis panduan untuk mengawal orang ramai yang berkumpul semasa perayaan Halloween di Itaewon.

Sementara itu, penduduk Korea Selatan dan serata dunia te­rus berkabung untuk memperingati kematian 156 mangsa dalam insiden rempuhan itu.

Tragedi berlaku di sebuah lorong sempit di daerah Itaewon yang juga terkenal sebagai pusat hiburan waktu malam. Sebilangan saksi berkata, mereka tidak dapat maju ke hadapan atau berpatah balik serta sukar bernafas apabila beribu-ribu pengunjung berasak-asak di lorong sempit dengan lebar kurang 4 meter. 

Waris-waris mangsa yang pa­nik pada Ahad lalu, berhimpun di pusat-pusat maklumat di mana pihak berkuasa mengumpulkan butiran mengenai kematian dan kecederaan selain menghubungi bilik mayat serta hospital dalam usaha terdesak untuk mencari mangsa yang hilang.

Selepas  identiti kesemua mangsa dikenal pasti, situa­si panik bertukar sedih apabila mereka menyedari bahawa bencana itu merupakan antara yang paling buruk dalam sejarah Korea Selatan.

Sebuah memorial rasmi didirikan di tengah Seoul kelmarin dengan beberapa gambar memaparkan orang ramai tidak putus-putus hadir untuk memberi penghormatan terakhir. Sebilangan mereka menangis sambil memegang bunga putih, manakala sesetengah pula berlutut di memorial tersebut.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol dan isteri, Kim Keon-hee bersama beberapa pegawai tertinggi lain termasuk perdana menteri dan datuk bandar menyer­tai sesi berkabung itu.

Banyak kedai dan firma perniagaan ditutup sebagai menghormati tempoh berkabung selama seminggu. Kawasan di tengah Seoul itu lengang sekali gus pemandangan sangat luar biasa di ibu kota tesebut yang didiami sekitar 10 juta orang.

Orang ramai juga memberi penghormatan di sebuah tugu peringatan sementara di luar stesen kereta api bawah tanah di Itaewon, tidak jauh dari lokasi rempuhan berlaku. Pintu masuk stesen itu dihiasi deretan bunga dan persembahan seperti nota tulisan tangan, botol soju (minuman keras) dan cawan kertas diisi minuman.– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI