fbpx

PRU15: Annuar Musa tidak dijemput ke WTC malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (dua dari kiri) bermesra dengan pengamal media selepas sidang akhbar di Hotel The Grand Renai, Kota Bharu hari ini. -Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau tidak menerima surat jemputan ke Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), Kuala Lumpur malam ini.

Menurutnya, Timbalan Ketua Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad yang juga merupakan Setiausaha BN Kelantan memaklumkan menerima surat pemakluman majlis tersebut malam tadi.

“Saya ada di Kelantan, macam mana nak pergi. Setakat ini, tiada jemputan (ke Majlis Pengumuman Calon BN).

“Sekiranya ada jemputan, saya pergi. Jika tiada, saya memang ada program penuh sehingga ke malam ini dengan pemimpin tempatan, UMNO bahagian. Saya bekerja ikut jadual saya,” katanya pada sidang akhbar di Hotel The Grand Renai di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat desas-desus yang mengatakan nama Annuar tidak tersenarai sebagai calon pada PRU15.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh yang menjadi kubu kuat BN dengan meraih majoriti sebanyak 4,626 undi dengan menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh yang merupakan calon Pas dan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin daripada Pakatan Harapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI