fbpx

PRU15: Polis P. Pinang kenal pasti tiga kawasan panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily ketika sidang akhbar mengenai persiapan PRU15 di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kawasan berstatus ‘hotspot’ di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung 19 November ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kawasan di Parlimen Permatang Pauh, Batu Kawan dan Balik Pulau telah dikenal pasti sebagai lokasi panas berdasarkan insiden-insiden yang berlaku ketika PRU14.

“Ada insiden pada PRU14 berlaku seperti ada pihak yang menahan kereta polis dan kereta Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Kita harap insiden sedemikian tidak berlaku pada pilihan raya kali ini.

”Pada masa ini menerusi risikan kita tidak ada maklumat yang menyatakan bahawa tempat-tempat ini akan berlaku situasi sebegitu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, PDRM Kontinjen Pulau Pinang telah membahagikan penugasan pilihan raya kepada dua skop besar iaitu melibatkan penugasan yang dipohon oleh SPR.

Katanya, skop kedua adalah memastikan keselamatan rakyat terjamin bermula dari tempoh penamaan calon hingga keputusan pilihan raya.

”Seramai 4,514 anggota dan pegawai polis iaitu 73.51 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota di kontinjen Pulau Pinang digerakkan untuk penugasan sepanjang PRU15.

”PDRM Pulau Pinang di peringkat daerah dan kontinjen telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan perincian penugasan dengan pihak SPR,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihak polis juga akan mengadakan pertemuan dengan semua calon atau wakil calon PRU15 bagi mengingatkan mereka tentang peraturan serta undang-undang pilihan raya yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga telah memohon bantuan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman untuk memaklumkan kepada kontinjen Pulau Pinang sekiranya terdapat laman-laman web yang menyebarkan maklumat palsu atau melakukan provokasi.

“Semua parti yang bertanding diharapkan dapat bersaing dengan sihat dan bertanggungjawab.

”Kepada penyokong parti, saya menyeru supaya berkempen dengan matang serta mengawal emosi dan mengelak daripada memprovokasi mana-mana pihak,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI