fbpx

Mahkamah: Peguam tidak sihat, kes bicara S.M Faisal ditangguh 25 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S.M Faisal ketika hadir di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin, yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isterinya, Emilia Hanafi di Mahkamah Majistret di sini ditangguhkan ke 25 November ini.

Majistret Nadia Othman menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili S.M Faisal, Datuk Jagjit Singh memaklumkan kepada mahkamah, seorang lagi peguam yang akan menyoal balas saksi baharu tidak dapat hadir kerana cuti sakit.

“Peguam iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader yang akan menyoal balas saksi baharu tidak sihat kerana mengalami masalah pernafasan. Saya dengan rendah diri mohon jasa baik mahkamah untuk kes ditangguhkan. Ini kerana Akberdin adalah peguam yang sepatutnya membuat pemeriksaan balas terhadap saksi itu,” kata Jagjit.

Pada sama, Jagjit turut memaklumkan pihak pembelaan baru menerima salinan pernyataan saksi baharu yang juga saksi pendakwaan keenam (SP6) iaitu adik Emilia semalam.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria kemudian memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan salinan pernyataan saksi kepada pembelaan semalam.

“Pendakwaan telah menyerahkan salinan pernyataan saksi (SP6) kepada pihak pembelaan pada 30 Oktober (semalam) seperti mana permintaan mereka pada tarikh sebelum ini,” kata Zahida.

Jagjit kemudian mengesahkan pihaknya telah menerima salinan pernyataan saksi tersebut.

Mengikut pertuduhan, SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI