KUALA KRAU – Mereka pernah menjadi pasangan suami isteri pada tahun 1958, namun berpisah hanya selepas setahun kerana tuntutan si suami yang perlu merantau mencari rezeki.
Sepanjang perpisahan itu, Mahmood Mamat, 84, atau lebih dikenali sebagai Ayah Mood telah beberapa kali berkahwin dengan wanita lain dan begitu juga dengan Fatimah Mohd. Noor, 80.
Bagaimanapun, jodoh tidak pernah salah alamat. Kedua-dua warga emas itu akhirnya kembali disatukan sebagai suami isteri, sekali gus membuktikan jodoh mereka masih kuat.
Perkahwinan kali kedua pasangan Mahmood dan Fatimah turut menjadi tular di media sosial selepas kisah mereka dikongsi oleh seorang cucu.
Ketika ditemui di Felda Jenderak Utara di sini semalam, Ayah Mood mengakui cinta terhadap Fatimah masih terpahat di hati walaupun sudah berpisah sejak 63 tahun lalu.
“Ketika berusia 22 tahun, saya membuat keputusan untuk keluar merantau ke Pahang bagi mencari pekerjaan dan meninggalkan Fatimah dan anak yang ketika itu berada di Kelantan.
“Di Pahang, saya bekerja sebagai buruh di Estet Tekal dan Estet Mentakab sebelum menjadi peneroka di Felda Jenderak Utara pada tahun 1981,” katanya.

Ayah Mood mengakui, rindu dan kasih sayangnya kepada isteri dan anak membuak-buak, namun kekangan kewangan menyebabkan mereka terpisah.
Bagaimanapun, kerinduannya terhadap Fatimah kembali berbunga apabila seorang anak, Rosliza Mahmood yang tinggal di Perak bertemu dengan bekas isterinya itu secara tidak sengaja dalam satu majlis perkahwinan.
“Hasil perbualan mereka secara tidak langsung mendedahkan kisah kami yang pernah menjadi menjadi pasangan suami isteri di Kelantan.
“Ungkapan ‘mek kirim salam’ yang diucapkan Fatimah turut membuatkan saya kembali rindu untuk bersemuka. Kami kemudiannya berbual menerusi panggilan telefon,” katanya yang mempunyai 68 cucu dan 20 cicit.
Menurut Ayah Mood, dia sudah lima kali berkahwin dan telah menduda, manakala Fatimah sudah lama menjadi balu.
Tambah beliau, mereka diijab kabulkan pada 16 Oktober lalu di Felda Jenderak Utara selepas kesemua anak-anak bersetuju untuk menjodohkan mereka.
Jelasnya, dia mempunyai 12 orang anak termasuk seorang bersama Fatimah bernama Kamaruzaman Mahmood, 63, yang merupakan peneroka di Felda Temangau 3, Bera.
“Kami disandingkan semula di rumah Kamaruzaman semalam (kelmarin) dan dihadiri semua sanak-saudara kedua-dua belah pihak. Tiga lembu dan lima kambing tumbang,” katanya.
Seorang anak Ayah Mood dikenali Amran, 58, berkata, mereka 12 beradik termasuk lima anak Mek (Fatimah) bersepakat menjodohkan pasangan itu.
Menurutnya, perpisahan mereka bukan kerana pergaduhan tetapi akibat tuntutan zaman itu yang serba kekurangan.
Seorang lagi anak Ayah Mood, Mohd. Sham Mahmood, 38, gembira dan bersyukur dengan aturan Allah yang menjodohkan kedua ibu bapa mereka.














