fbpx

Kerajaan kaji semula kenaikan kadar IPG – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan di Bera hari ini.

BERA – Kerajaan akan mengkaji semula kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) demi kepentingan pekebun kecil getah di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah berbincang dengan menteri kewangan mengenai kewajaran bagi menaikkan kadar IPG yang pada masa ini ialah pada kadar RM2.50.

“Saya tahu ramai merungut supaya ditingkatkan (IPG), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda)) bangkitkan dalam Parlimen, jumpa saya berkali-kali memohon supaya IPG RM2.50 dipertingkatkan.

“Saya pun sudah berbincang dengan Menteri Kewangan dan kita akan lihat perkara ini, insya Allah kalau diberi peluang memerintah semula kita akan kaji untuk kepentingan pekebun kecil,” katanya ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri IPG yang diperkenalkan kerajaan amat signifikan dalam usaha membantu pekebun kecil getah dalam berhadapan dengan harga getah yang tidak menentu.

“Sekiranya harga pasaran getah berada di paras RM2.50 sekilogram kalau tidak ada insentif seperti ini kalau harga getah turun kurang daripada 2.50 pekebun kecil tidak akan dapat apa-apa tetapi dengan adanya insentif RM2.50 kalau harga RM2.40 kerajaan tanggung 10 sen untuk menampung kekurangan,” katanya.

Menurut Ismail Sabri kerajaan sedar pentingnya sektor penanaman getah kepada peningkatan ekonomi negara dan memperkenalkan pelbagai inisiatif serta bantuan termasuklah program tanam semula getah dengan sasaran 20,000 hektar yang kini telah mencapai penananam 10,000 hektar melibatkan 7,180 pekebun kecil.

Beliau memberitahu pada masa ini Risda juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara.

“Pekebun kecil di Pahang turut menyumbang kepada peningkatan kawasan penanaman semula seluas 1,354.69 hektar melibatkan 901 pekebun kecil dengan peruntukan berjumlah RM43.6 juta bagi semua program pembangunan komoditi getah,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, kerajaan telah memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan sebanyak RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800 kilogram sehektar.

Beliau memberitahu Risda juga telah berjaya melahirkan seramai 23,522 usahawan bimbingan Risda di seluruh negara melalui bantuan berjumlah RM56.3 juta.

“Jadi peluang menjadi pekebun kecil Risda sentiasa terbuka luas setiap tahun kerana kerajaan melalui Risda menyediakan pelbagai inisiatif mempelbagaikan sumber pendapatan dan pembangunan modal insan untuk seisi keluarga pekebun kecil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI