fbpx

‘Saya daratkan ekor helikopter dulu pastikan kabin selamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRY JAMALUDDIN bersalaman dan bertanyakan keadaan Fedzrol ketika melawat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.

IPOH – Angin kencang menjadi antara punca helikopter jenis Eurocopter AS355F2 yang membawa petugas Pasukan Doktor Udara (FDU) dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dan juruterbangnya terhempas di Brinchang, Cameron Highlands, kelmarin.

Menurut juruterbangnya, Fedzrol Norazam, 43, sebelum kejadian, beliau menggunakan laluan biasa untuk pulang ke Ipoh selepas selesai tugasan di Kampung Gawin, Gua Musang, Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, sewaktu dalam perjalanan pulang, berlaku hujan di suatu kawasan menyebabkan beliau terpaksa mencari laluan lain bagi melepasi Banjaran Titiwangsa iaitu di kawasan pergunungan Cameron Highlands.

“Saya nampak kawasan kecil yang membolehkan helikopter mendarat, tetapi bila berada di sana, ada angin yang menolak helikopter ke atas.

“Masa itu saya sudah rasa (kelainan), cuma tidak beritahu penumpang kerana takut mereka panik.

“Saya cuba kawal helikopter, tetapi ia semakin sukar. Ia (angin) menolak helikopter ke atas sedangkan saya mahu mendarat,” katanya ketika ditemui pemberi­ta di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Cerita Fedzrol, angin tersebut ‘menolak’ helikopter ke arah satu bukit yang ketinggiannya sama dengan altitud pesawat ringan ketika itu iaitu 1,524 meter.

“Saya tidak dapat mengawal helikopter, hendak ke kanan, ke kiri, bawah dan atas tak boleh. Saya terpaksa menggunakan 100 peratus kekuatan enjin, tetapi keadaan masih tidak stabil.

“Helikopter semakin menghampiri bukit menyebabkan saya terpaksa ambil keputusan membuat pendaratan kecemasan. Saya guna teknik mendaratkan ekor helikopter terlebih dahulu bagi melindungi kabin,” katanya.

Jelas lelaki itu, beliau tidak sedarkan diri selama dua hingga tiga minit selepas melakukan pendaratan sehingga terdengar ada suara memanggil namanya.

Sewaktu pendaratan kecemasan itu, Fedzrol mengalami pendarahan di kepalanya.

“Selain kepala berdarah, saya juga berasa pening kira-kira 10 minit sebelum boleh bercakap. Saya bertanyakan keadaan penumpang kerana sebagai kapten, penumpang adalah tanggungjawab saya,” katanya.

Selain Fedzrol, helikopeter itu membawa pasukan perubatan KKM iaitu Munirah Abd Rahman, 53, Zainurol Fazlan Zainudin, 40, Muhamad Azlan Hanifah, 31, Norhasikin Abu Seman, 38, dan Hashilawati Hussi, 43.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 tengah hari itu, kesemua mangsa terselamat dengan tiga daripada mereka parah, manakala bakinya cedera ringan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI