fbpx

Momen ‘ikat perut’ jadi inspirasi kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH RAHA nekad memulakan bisnes minyak wangi demi kelangsungan hidup.

PERNAH menahan lapar dan ‘ikat perut’ dek kerana ketiadaan wang sekitar 15 tahun lalu antara momen yang tidak akan pernah dilupakan wanita cekal kelahiran negeri Sarawak ini. 

Masih basah dan segar dalam ingatan Sharifah Raha Wan Alwi yang ketika itu baharu sahaja bermula berjinak-jinak dalam bisnes kecil-kecilan sambil setia ditemani anak-anak.

“Kalau dikenang balik memang agak sedih, tapi itulah namanya fasa kehidupan. Tidak selamanya kita berada di bawah. 

“Masih saya ingat, waktu awal-awal berniaga dulu, saya dan anak-anak serta suami pernah ikat perut kerana ketidakmampuan kami menjana pendapatan harian.

“Masa tu boleh dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan ‘esok’. Sampai begitu sekali perumpamaan yang boleh saya simpulkan.

“Berat sungguh ujian pada ketika itu. Tetapi, dugaan itu jugalah yang buatkan saya bangkit semula dan mulakan bisnes dengan lebih bersemangat,” katanya membuka bicara bersama Aura.

SUAMI dan anak-anak merupakan sumber kekuatan kepada Sharifah Raha dalam
menempuhi setiap cabaran mendatang.

Jelas wanita berusia 49 tahun ini lagi, dek kerana minat mendalam terhadap produk wangian seperti minyak wangi, dia mula memberanikan diri untuk mula membuka sebuah kilang berasaskan minyak wangi sekitar 2017 sekali gus membantu pemilik-pemilik perniagaan lain.

Berbekalkan sedikit modal yang diperolehi dan dikumpul suami ketika pernah terlibat dalam bidang percetakan dan pengiklanan, dari situ jugalah mereka sepakat untuk mula mengoperasikan kilang minyak wangi tersebut.

“Suami saya pernah terlibat dalam bidang percetakan dan pengiklanan yang merupakan satu pemangkin besar untuk kami buka bisnes minyak wangi sendiri.

“Kebetulan, saya sendiri sangat berminat dengan bau-bauan selain merupakan pengumpul tegar apa sahaja jenama minyak wangi sejak zaman remaja,” katanya. 

Meneruskan cerita, Sharifah Raha bersyukur apabila kilang minyak wangi miliknya mula diterima dan dikenali pada ketika itu.

“Saya rasakan kebanyakan minyak wangi yang dijual di pasaran sekitar lima tahun lalu tidak mempunyai nilai penjenamaan yang betul-betul bagus selain tiada kotak dan pembungkusan khas. 

“Itu belum minyak wangi yang sebahagian besarnya kurang berkualiti dari segi bauan dan ketahanan sedangkan pasaran produk tersebut pada ketika itu semakin membesar.

“Niat saya pada ketika itu hanya mahu membantu penjual-penjual atau pengasas minyak wangi lain mempunyai produk berasaskan minyak wangi sendiri yang berkualiti daripada segala aspek termasuk pembungkusan dan jenama.” ujarnya. 

Kongsi Sharifah Raha lagi, tahun 2017 adalah pemula kepada segalanya di mana dia juga berpeluang menuntut ilmu bersama mentor perniagaan kesayangan ramai, Datuk Wira Dr. Azizan Osman. 

BANTUAN dan dorongan berterusan daripada staf berjaya memajukan lagi jenama
Perfumextreme yang diusahakan oleh Sharifah Raha.

“Saya percaya, niat untuk terus mendalami ilmu perniagaan tanpa rasa jemu sehingga dipertemukan dengan mentor ternama merupakan asbab untuk diri ini lebih berdaya maju di masa hadapan. 

“Segala ilmu yang dicurahkan, kami manfaatkan dan gunakan semula dalam bisnes yang dibangunkan.

“Alhamdulillah, lima tahun mendepani pelbagai cabaran dan onak duri, Perfumextreme kini telah melahirkan 50 pengasas produk minyak wangi daripada pelbagai jenama dalam kalangan suri rumah, pempengaruh media sosial dan selebriti,” katanya. 

Menutup bicara, Sharifah Raha memberitahu, bagi tahun 2023, dia menyasarkan untuk membantu lebih daripada 250 orang pengasas baharu yang mahu membangunkan jenama minyak wangi mereka sendiri kelak. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI