fbpx

Mahkamah: Syed Saddiq diperintah bela diri 4 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq bercakap pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Penyandang Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan perkara itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu di akhir kes pendakwaan.

Syed Saddiq, 29, kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Tertuduh kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Sepanjang prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes perbicaraan selepas 30 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.

Dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Jun lalu, antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan adalah ibu bapa Syed Saddiq iaitu Shariffah Mahani dan Syed Abdul Rahman selaku saksi kedua dan ketiga pendakwaan.

Selain itu turut menjadi saksi pendakwaan ialah bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali.

Pendakwaan juga menawarkan 13 saksi kepada pembelaan termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq; Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Mengikut pertuduhan Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI