fbpx

Lelaki cedera, pedal brek motosikal tertusuk punggung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa tertusuk pedal brek di bahagian punggung dalam kejadian di Kampung Wakaf Lichong, Pasir Puteh semalam. - IHSAN BOMBA

PASIR PUTEH – Seorang lelaki terpaksa menahan sakit selama hampir 30 minit apabila pedal brek motosikal yang ditunggangnya tertusuk pada bahagian punggung selepas terbabas di Kampung Wakaf Lichong di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini sebelum besi pedal brek itu berjaya dikeluarkan pada pukul 8.20 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, siasatan mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave 125 dipercayai terbabas di lokasi kejadian.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan pedal brek motosikal tersebut tertusuk pada bahagian punggung mangsa.

“Bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.52 malam sebelum 10 orang anggota bergegas ke lokasi kejadian. Pemeriksaan di kawasan itu mendapati, mangsa berada dalam keadaan mengiring apabila pedal brek tertusuk punggungnya.

“Anggota bomba telah bertindak memotong besi pedal brek pada motosikal, namun sebahagiannya masih tertusuk pada punggung mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Azhar Elmi, mangsa terus dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk membuang sebahagian pedal brek tersebut.

Katanya, pihak hospital berjaya membuang besi itu dan keadaan mangsa dilaporkan stabil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI