fbpx

Inisiatif Fasiliti Sisa Lengai ke arah kelestarian alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamdan (kiri) bersama Mohd. Zain (kanan) pada majlis pelancaran Fasiliti Sisa Lengai di Sungai Karang, Kuantan kelmarin.

KUANTAN – Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES) terus bergerak proaktif dengan memperkenalkan satu fasiliti inisiatif hijau iaitu Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai pertama di negeri ini di Sungai Karang, dekat sini.

Fasiliti berkeluasan 3.6 hektar itu bertujuan memberi kemudahan kepada kontraktor pembinaan yang terlibat dalam pengurusan pelupusan sisa binaan dan perobohan melalui pembuangan pengurusan sisa lengai di daerah ini.

Datuk Bandar Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, kemudahan baharu yang disediakan AFES itu adalah permulaan dalam membentuk ke arah bandar hijau.

Menurutnya, dengan penggunaan kaedah yang lebih teratur itu, ia bukan sahaja dapat memulihara alam sekitar tetapi sekali gus mengawal pelupusan haram.

“Saya berharap agar pemaju-pamaju di Kuantan serta kontraktor yang menguruskan pelupusan sisa binaan dan perobohan sekali gus penduduk-penduduk berdekatan dapat memanfaatkan fasiliti inisiatif hijau ini agar kelestarian dan kebersihan bandar raya Kuantan dapat dipertingkatkan lagi.

“Ini dapat mengelakkan daripada pembuangan sisa binaan dan perobohan secara haram yang mana ia adalah salah satu usaha ke arah menzahirkan impian Malaysia menjadi sebuah negara bersih dan indah selaras Dasar Kebersihan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pengurusan sisa lengai (pelupusan sisa binaan dan perobohan) di Sungai Karang, di sini kelmarin.

Menurut Hamdan, fasiliti berkenaan dibina khusus untuk menguruskan sisa binaan dan perobohan yang dijana daripada pembinaan dan pengubahsuaian bangunan atau premis terutamanya dalam daerah Kuantan secara sistematik.

Beliau memberitahu, fasiliti itu dijangka boleh bertahan dan digunakan selama tujuh hingga 10 tahun dengan kapasiti sisa binaan dan perobohan yang boleh diterima dianggarkan sebanyak 120 sehingga 170 tan sehari.

Jelasnya sisa yang diterima di fasiliti ini termasuklah sisa konkrit, sisa batu bata atau baur dan bahan berasaskan simen.

“Ini juga merupakan salah satu inisiatif hijau yang mana proses kutipan dan pelupusan sisa tersebut adalah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) melalui Akta 672 (Skim bagi sisa pepejal binaan),” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan menetapkan pengeluaran permit untuk diberikan kepada mana-mana pemaju atau individu yang menguruskan sisa lengai.

Katanya, kadar bayaran yang dikenakan kepada mereka yang menggunakan khidmat di sini adalah sebanyak RM16 per tan.

Fasiliti inisiatif hijau akan mendorong bandar Kuantan ke arah amalan kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Pengarah AFES, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan MBK dan Solid Waste Corporation (SWCorp) sebagai badan pelaksana dan pemantauan sisa pepejal termasuklah pelupusan sisa binaan dan perobohan agar pembuangan sisa secara haram dapat dihentikan.

Katanya, selain itu, AFES juga akan sentiasa memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pembuangan sisa yang mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan.

Mohd. Zain berkata, dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bersih, pembangunan ekonomi negara perlu seiring dengan kelestarian alam sekitar.

“Transformasi kepada kitaran ekonomi kitaran yang berteraskan kepada prinsip mengurangkan, mengguna dan mengitar semula perlu diperluas kepada semua sektor industri ke arah meminimumkan penjanaan sisa pepejal di sumber dan memaksimumkan penggunaan sumber yang seterusnya mengurangkan pelepasan karbon dioksida kepada alam sekitar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI