KETIKA seorang pelanggan bertanya mengenai pesanan makanan yang telah dibuatnya beberapa minit lalu, seorang pelayan wanita berusia 76 tahun, Noriko Ikeda, kelihatan agak keliru.
Tidak menunjukkan reaksi pelik mahupun marah apabila pertanyaan tersebut tidak dijawab, pelanggan tadi hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala.
Itulah situasi yang biasa terjadi pada setiap pelanggan di restoran tersebut.
Walaupun hampir sebahagian pelayan cenderung menghidangkan air sebanyak dua kali atau tertukar pesanan diminta, namun pelanggan hanya tertawa dan menikmati makanan dihidangkan di atas meja mereka.
Dinamakan sebagai Restaurant of Mistaken Orders, premis tersebut popular dengan pelayan-pelayan yang menghidap demensia atau nyanyuk.
“Itu bukanlah satu masalah, sebaliknya saya merasakan restoran ini mempunyai suasana yang santai dan mesra antara pelanggan serta pelayannya. Jika pesanan yang dimahukan salah, kami akan memperbetulkannya semula.
“Bagi saya, restoran ini unik dan menenangkan. Ia sedikit sebanyak dapat membuatkan saya memahami masalah yang dihadapi oleh mereka,” kata salah seorang pelanggan.
Keadaan itu mungkin kelihatan pelik kerana kesilapan membuat pesanan makanan tidak pernah berlaku di restoran-restoran di Jepun.

Namun, itulah realitinya selepas seorang pemuda dikenali sebagai Shiro Oguni mengambil keputusan untuk mewujudkan peluang pekerjaan buat penghidap demensia.
Inisiatif murninya itu juga membuatkan restoran tersebut tular di media sosial sekitar 2017, selepas seorang pelanggannya membuat ciapan di laman Twitter.
Lebih membanggakan, restoran yang terletak di Tokyo itu pernah memenangi salah satu anugerah berprestij dunia, Cannes Lion selain pelbagai pengiktirafan lain dari dalam serta luar Jepun.
Kata Oguni, inisiatif tersebut dilakukannya selepas dia berasa kasihan melihat masalah dialami oleh penghidap demensia.
Tambahan pula, demensia merupakan masalah kesihatan yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat di Negara Matahari Terbit itu.
“Idea untuk membuka restoran ini muncul pada tahun 2012, ketika saya bekerja sebagai penyampai televisyen untuk saluran penyiaran kebangsaan negara, NHK.
“Ketika itu, saya menemu bual Yukio Wada, individu yang pakar dalam menjaga pesakit demensia dan menghabiskan masa selama 30 tahun untuk mengendalikan rumah orang-orang tua penghidap demensia.
“Katanya ketika itu, dia sentiasa menggalakkan kumpulan ini untuk menjalani kehidupan mereka dengan membeli-belah, memasak dan membersihkan diri sama seperti rutin individu normal,” kongsinya.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Jepun menganggarkan kira-kira 6.02 juta orang berumur 65 tahun ke atas mengalami demensia setakat 2020, manakala menjelang 2025, satu daripada setiap lima orang diunjurkan mengalami masalah tersebut.
Lantaran itu, konsep restoran tersebut merupakan cerminan realiti masyarakat Jepun pada abad ke-21 iaitu mempunyai populasi menua dan penghidap penyakit demensia yang tinggi.
Bahkan, seluruh bandar telah mula menstrukturkan perkhidmatan mereka untuk disesuaikan dengan peningkatan bilangan individu yang mengalami demensia.
Mula beroperasi pada Jun 2017, restoran tersebut berjaya mewujudkan rasa empati dan menyebarkan kesedaran tentang demensia, sekali gus diharap dapat mengurangkan stigma sosial masyarakat di sekeliling.
“Menjadi warga emas yang menghidap penyakit demensia adalah satu perkara yang tidak pernah dipinta oleh sesiapa. Lebih-lebih lagi, apabila kehidupan mereka berakhir dengan duduk di rumah orang-orang tua tanpa sebarang aktiviti.
“Orang ramai percaya penghidap demensia tidak boleh melakukan apa-apa untuk diri sendiri. Keadaan itu membuatkan golongan ini terasing daripada masyarakat.
“Justeru, kami mahu mengubah stigma masyarakat agar lebih mesra sama ada bersama penghidap demensia atau tidak. Kita boleh hidup bersama dalam keadaan harmoni,” ujarnya.
Jelasnya, pada awalnya, restoran tersebut dibuka secara pop-up, sebelum dibuka sepenuh masa di bandar Machinda, Tokyo dengan kerjasama majlis perbandaran di sana,
Katanya, dia mendapati penghidap demensia mampu bekerja lebih cergas dan para pelanggan juga akur dengan kebarangkalian menerima pesanan yang salah.
Tertarik dengan konsep yang diketengahkan oleh Restaurant of Mistaken Orders yang memberi peluang pekerjaan kepada golongan demensia, Takaaki Ichikawa, 41, mengambil keputusan untuk membuka restoran berkonsep serupa.
Dikenali sebagai Chibaru Shokudo, restoran itu bukan sahaja terkenal dengan keenakan hidangan mi tulang rusuk babi, malah premis tersebut juga popular kerana pelayan demensianya.
Kata Ichikawa, dia meminta pusat sokongan serantau untuk membantu merekrut pesakit demensia yang sedang mencari pekerjaan.
Restoran Chibaru Shokudo yang terletak di Okazaki, Aichi, berjaya mendapat empat pekerja demensia yang berumur 60-an hingga 80-an.
Katanya, demensia dilihat sebagai personaliti dan indentiti kepada hampir semua kakitangan di Chibaru Shokudo.
Justeru, Ichikawa telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan pelanggan memahami kesukaran dihadapi oleh kakitangannya.
Jadi, pelanggan perlu peka dan sedar dengan kesilapan yang berlaku ketika pesanan makanan diambil.
“Saya juga membuat kesilapan pada masa-masa tertentu. Jadi, kami di sini bekerja dengan membantu antara satu sama lain.
“Setiap kali ada pelayan tidak dapat menjawab soalan yang ditanyakan pelanggan, tersalah hantar makanan atau mereka berhadapan kesukaran menjalankan tugas, saya akan terus keluar dari dapur untuk membantu.
“Ada pelanggan yang tahu dan ada juga yang tidak tahu. Justeru, saya akan meminta maaf dan mengambil alih tugas melayan pelanggan,” katanya.
Ichikawa berkata, dia berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pekerja dan berharap agar restorannya dijadikan contoh kepada pengusaha-pengusaha lain.
“Saya berjanji akan mengekalkan restoran ini bagi menawarkan tempat dan peluang pekerjaan kepada pesakit demensia menjalani kehidupan bermakna,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pelayan nyanyuk, Noriko Ikeda bekerja sekitar tiga jam pada waktu makan tengah hari.
Gaji yang diterima oleh Ikeda lebih tinggi daripada pekerja lain iaitu 955 Yen (RM30.31) sejam.
Ikeda yang turut mengendalikan kafe karaoke dan bar snek bertugas di ‘restoran pelayan nyanyuk’ itu sebanyak empat kali seminggu.
Meskipun berdepan masalah kesihatan, namun wanita itu tetap dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja yang sama sebagaimana pekerja normal.
Dia bukan sahaja menguruskan semua tugas di luar, bahkan di dalam dapur.
Tugasnya meliputi mengambil pesanan, mengemas meja dan mencuci pinggan di dapur.
Semua itu dilakukan Ikeda sendiri, tetapi dengan pemantauan. Biasanya, Ikeda mencatatkan pesanan pada kertas, tetapi kesukaran berlaku apabila dia terlupa nombor meja yang membuat pesanan itu.














