fbpx

Rishi Sunak PM Britain terkaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rishi dan Akshata digelar ‘power couple’ dengan gabungan kekayaan mereka melebihi harta peribadi milik Raja Charles III. - Daily Mail

LONDON – Perdana Menteri Britain yang baharu, Rishi Sunak dipercayai memiliki nilai kekayaan dua kali ganda berbanding pemerintah negara itu, Raja Charles III, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Gabungan kekayaan Sunak dan isterinya, Akshata Murty yang merupakan pewaris kepada konglomerat teknologi maklumat (IT), N.R. Narayana Murty mencecah £730 juta (RM3.9 bilion) berbanding kekayaan peribadi Charles sebanyak £370 juta (RM2 bilion).

Menurut akhbar The Washington Post, ia mungkin kali pertama dalam sejarah di mana PM Britain adalah lebih kaya berbanding monarki negara itu.

Sumber harta kekayaan Sunak dan Akshata dilaporkan terdiri daripada portfolio hartanah serta sejumlah besar saham perniagaan.

Charles dalam masa sama hanya akan dianggap lebih kaya berbanding pasangan itu sekiranya pengiraan harta adalah termasuk Duchy of Lancaster, sebuah estet yang dimiliki oleh keluarga monarki Britain sejak abad ke-14.

Sebahagian besar kekayaan yang dimiliki oleh Sunak adalah hasil daripada perniagaan keluarga isterinya dengan bapa mentuanya, Narayana, menduduki tempat keenam dalam senarai individu terkaya di India dan tangga ke-654 di dunia.

Sebahagian besar daripada kekayaan itu datang daripada Infosys, sebuah firma IT yang berpangkalan di Bangalore, India, yang diasaskan oleh Narayana. 

Akshata yang merupakan anak sulung daripada dua beradik dilaporkan memegang 0.91 peratus kepentingan iaitu sekitar 39 juta saham syarikat yang bernilai kira-kira £727 juta (RM3.9 bilion) tersebut.

Portfolio hartanah pasangan itu pula terdiri daripada kondominium mewah bernilai £1 juta (RM5.4 juta) di Kensington, rumah persinggahan berharga £7 juta (RM37.9 juta) dan rumah agam £2 juta (RM10 juta) di Yorkshire, kawasan pegangan Sunak di mana beliau digelar  ‘Maharaja of the Dales’.

Profesor politik di Universiti Manchester, Robert Ford berkata, isu sama ada pengundi mengambil berat mengenai Perdana Menteri yang lebih kaya daripada raja adalah sesuatu yang tidak penting.

“Rakyat Britain secara keseluruhan tidak menganggap bahawa menjadi kaya adalah perkara yang buruk atau hilang kelayakan.

“Pandangan orang ramai adalah ‘Baiklah, saya tidak kisah selagi anda membayar cukai, tetapi ia benar-benar menjengkelkan saya jika anda tidak melakukannya’,” jelas Ford.

Sementara itu, kredibilit Sunak sedikit tercalar awal tahun ini dengan pendedahan bahawa isterinya yang berpindah ke Britain secara tetap pada 2013, mungkin membayar lebih banyak cukai di luar negara.

Akshata didaftarkan sebagai penduduk tidak bermastautin di Britain, salah satu taktik undang-undang untuk mengelak daripada membayar cukai atas pendapatan luar negara. 

Status ini sering digunakan oleh golongan kaya untuk menjimatkan beribu-ribu malah berjuta-juta pound Britain dalam cukai.

Dalam satu kenyataan ringkas, Akshata menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa beliau membayar cukai ke atas semua pendapatan di Britain. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI