fbpx

PRU15: Maik larang masjid jadi tempat kempen politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Rizam (tengah) menyampaikan sumbangan fidyah Maik kepada seorang imam masjid di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji, Kota Bharu hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melarang segala aktiviti berkaitan kempen politik dijalankan di semua masjid di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Maik kepada imam-imam masjid agar tidak memberi kebenaran kepada sebarang kempen PRU15 di masjid.

Menurutnya, larangan tersebut adalah untuk mengelakkan masjid daripada menjadi tempat berkempen oleh kumpulan tertentu bagi menyampaikan agenda mereka.

“Saya ingin tegaskan bahawa masjid bukan medan politik, sebaliknya ia merupakan tempat perpaduan. Oleh itu, imam juga perlu memastikan hanya penceramah memiliki tauliah mengajar agama daripada Maik dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid seperti yang termaktub di dalam Seksyen 91 Enakmen Maik.

“Selain itu, Maik hanya membenarkan imam dan khatib undangan yang dilantik sahaja menyampaikan khutbah Jumaat. Mimbar masjid yang merupakan tempat suci dan mulia perlu dijaga daripada menjadi tempat berkempen untuk tujuan kepentingan peribadi oleh kumpulan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Maik Bersama Imam-Imam Negeri Kelantan Tahun 1444 Hijrah/2022 di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan turut menyampaikan sumbangan fidyah bernilai hampir RM1 juta kepada imam 20 buah masjid bandar dan jajahan seluruh negeri untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan.

Mengulas lanjut, menurutnya, masyarakat Islam perlu terus menjaga masjid yang merupakan institusi dan rumah Allah SWT daripada perkara yang boleh mencetuskan perpecahan.

Katanya, beliau berharap masyarakat Islam meraikan pilihan raya dengan menyemai sifat ikatan ukhuwah islamiyah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI