fbpx

Rishi Sunak lantik semula menteri kanan terpalit isu protokol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sunak mengekalkan beberapa nama lama dan melantik semula ahli Parlimen yang sebelum ini terpalit isu pelanggaran protokol kerajaan. - Flickr

LONDON – Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengumumkan barisan menteri kanan dalam kabinetnya pada hari pertama beliau sah dilantik, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.

Rombakan kabinet menyaksikan beberapa pilihan yang boleh diramal seiring dengan pemilihan Sunak selaku Perdana Menteri Britain dan beberapa yang mengejutkan ahli Parlimen.

Pelantikan menteri kanan kabinet pimpinan Sunak adalah berpandukan tema ‘perpaduan, pengalaman dan kesinambungan dalam beberapa peranan penting’.

Beliau mengekalkan tiga menteri tertinggi iaitu Jeremy Hunt sebagai Canselor Kewangan, James Cleverly sebagai Setiausaha Luar dan Ben Wallace sebagai Setiausaha Pertahanan.

Ini berkemungkinan bertujuan menjadi mesej yang jelas untuk Sunak meyakinkan ahli Parlimen bahawa beliau boleh menawarkan kestabilan terutamanya semasa perang di Ukraine dan kegawatan ekonomi beberapa bulan lepas.

Sementara itu, pesaing beliau dalam pencalonan kepimpinan Parti Konservatif baru-baru ini, Penny Mordaunt, terpaksa ‘membayar harga yang tinggi’ apabila tidak terpilih bagi mengisi mana-mana jawatan dalam kabinet kerana tidak menarik diri lebih awal semasa perebutan kerusi No. 10.

Mordaunt dikatakan mengintai peluang untuk dilantik sebagai Setiausaha Luar selepas menarik diri beberapa minit sebelum tempoh pencalonan ditutup.

Beliau bagaimanapun akan kekal sebagai Ketua Dewan Rakyat, tugas yang memastikan undang-undang kerajaan diterima melalui Parlimen.

Salah satu pelantikan yang paling menarik perhatian adalah Suella Braverman yang kembali bergelar Setiausaha Dalam Negeri.

Braverman meletak jawatan daripada posisi sama selepas didapati melakukan kesalahan yang melanggar protokol rasmi dengan menghantar dokumen kerajaan kepada seseorang yang tidak diberi kuasa untuk menerimanya.

Beliau menawarkan sokongan terbuka kepada Sunak semasa penamaan calon minggu lalu.

Beberapa sumber dalam kerajaan membuat spekulasi bahawa pengesahan sokongan itu mungkin menjadi umpan bagi mendapatkan semula jawatan lamanya sebagai balasan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI