fbpx

Video lama berkaitan Tok Mat ditularkan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video lama ucapan Mohamad atau Tok Mat pada 2018 yang ditularkan semula.

SEREMBAN – Satu video lama berkaitan ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan telah ditularkan semula yang dikhuatiri boleh mencetuskan suasana tegang menjelang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihak polis telah menerima hantaran video klip berkenaan pada pukul 10.55 pagi, Ahad lalu.

“Klip video lama itu berkaitan ucapan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan semasa di Rantau Eco Park Rembau pada 19 Mac 2018 ketika beliau masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Video tersebut telah memaparkan ucapan Mohamad membuat provokasi terhadap pihak-pihak yang memfitnah kerajaan di mana sekiranya ditahan pihak polis beliau akan menjamin (jamin polis),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir.

Sebelum ini, tular di media sosial video lama memaparkan Mohamad atau Tok Mat berucap pada Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional (BN) Rembau sekitar Mac 2018.

Ahmad Dzaffir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu merupakan kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.

Menurut Ahmad Dzaffir, berikutan video yang tular itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mencetuskan suasana tegang dengan memuat naik video dan isu lama dalam media sosial.

“Ini bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar tanpa timbul sebarang spekulasi negatif yang boleh menimbulkan kegusaran serta boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam khususnya di Negeri Sembilan.

“Mana-mana individu yang dikesan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam boleh didakwa di bawah Seksyen Seksyen 505 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, individu yang memuat naik menggunakan media sosial seperti internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh juga diambil tindakan di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI