fbpx

Tampil sopan dengan gaya kaftan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUSANA dikenali sebagai Maya ini menggunakan fabrik berkilau bagi menyerlahkan sisi elegan.

BUSANA kaftan dilihat semakin popular dalam kalangan wanita di negara ini untuk digayakan sama ada menghadiri majlis-majlis tertentu atau dijadikan pakaian harian.

Malah, rekaan busana itu yang longgar dan anggun sering menjadi tarikan, khususnya bagi wanita yang gemarkan gaya sopan.

Sebuah jenama baharu yang menyertai pentas peragaan, MY Gaya Month sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di pusat beli-belah Fahrenheit 88, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kalima telah tampil dengan seleksi busana kaftan sopan.

Pengasasnya, Nurfatinah Mohd. Rashidee, 33, berkata, koleksi Kalima diinspirasikan daripada gaya minimalis dan sopan yang diserlahkan menerusi kekuatan fabrik itu sendiri.

“Bagi saya, apabila menghasilkan busana jenis sopan, ia tidak perlu berlebihan kerana sifatnya sederhana dan simple.

“Justeru, potongan ringkas menjadi pilihan. Saya juga menggunakan fabrik bersesuaian bagi menyerlahkan gaya minimalis yang kelihatan moden serta elegan,” ujarnya.

Fabrik berkilau dan beralun menjadi signatur Kalima, sekali gus menyerlahkan gaya anggun dan elegan si pemakai.

Potongan labuh dengan perincian pleated atau lipatan juga menjadikan seleksi busana Kalima tampak eksklusif dan mudah digayakan.

“Pemilihan fabrik berkilau dan sifon menjadikan kaftan Kalima nampak seperti beralun serta cantik apabila digayakan.

“Malah, salah satu seleksi kami iaitu Seri Kaftan, rekaan pleated pada salah satu bahagiannya tampak cukup beralun dan terletak,” katanya.

Nurfatinah juga berkata, dia sengaja enggan meletakkan fabrik dalaman atau lining pada busana Kalima supaya tidak ‘mengganggu’ alunannya.

PELANGGAN boleh memilih sendiri jenis dan warna fabrik sebelum dibuat pakaian.

Dia memberitahu, koleksi paling digemari pelanggannya adalah kaftan Seri Luna yang menampilkan rekaan pleated pada bahagian depan dan plain di sebelah belakang.

Menariknya, rekaan itu boleh dipakai dengan dua cara iaitu meletakkan bahagian lipatan pada bahagian belakang atau sebaliknya.

Jelas Nurfatinah, kebanyakan busana ready to wear Kalima boleh ditempah dengan menggunakan seleksi fabrik yang ditawarkan.

Katanya, busana yang ditempah memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan kerana mereka boleh mendapatkan rekaan dimahukan dalam ukuran tepat.

“Kami memahami, adakalanya busana yang sedia dipakai itu terlalu labuh atau singkat. Disebabkan itu, kami menawarkan konsep tempahan bagi memberikan saiz yang lebih tepat,” katanya.

Busana Kalima boleh ditempah menerusi Instagram @kalima.my atau dengan berkunjung ke butik jenama tersebut yang terletak di Setia Alam, Selangor.

Pelanggan juga boleh mendapatkan busana jenama itu di butik Sofia Iman yang terletak di aras dua, pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur.

Harga bagi setiap koleksi Kalima adalah di bawah RM400.

Sementara itu, bagi yang berminat untuk melihat sendiri koleksi Kalima dan pelbagai jenama lain di bawah kempen MY Gaya Month, anda boleh berkunjung ke pusat beli-belah Fahrenheit 88.

Kempen berakhir pada 10 November depan itu mempamerkan pelbagai rekaan menarik hasil sentuhan 20 pereka tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI