fbpx

Rayuan Najib dapatkan dokumen Goldman Sachs, keluarga Zeti 8 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Rayuan di Putrajaya. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 8 Disember bagi keputusan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan dokumen bank membabitkan bank pelaburan Amerika Syarikat Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Tarikh keputusan itu ditetapkan tiga panel hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang turut bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Nafsy Yasin dan Hakim Datuk Nordin Hassan.

“Kami memerlukan masa untuk meneliti (hujahan kedua-dua pihak). Justeru, mahkamah menetapkan keputusan pada tarikh lain iaitu pada 8 Disember ini,” kata hakim Kamaludin.

Untuk rekod bekas perdana menteri itu dalam usaha mendapatkan dokumen bank untuk digunakan dalam perbicaraannya membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lalu yang menolak dua permohonan penemuannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Najib memfailkan perintah mahkamah pada 24 Mac tahun lalu untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDB.

Najib selaku pemohon juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Terdahulu semasa prosiding, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, dokumen berkaitan syarikat milik ahli keluarga Zeti dan Jho Low berada di tangan pihak pendakwaan dan pihak berkuasa Malaysia.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menghujahkan bahawa, dakwaan pasukan pendakwaan memiliki dokumen itu adalah bersifat ‘dengar cakap’.

Menurutnya, pembelaan sering menggunakan hujahan dengan mengatakan pendakwaan memiliki dokumen tersebut berdasarkan laporan berita oleh portal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI