fbpx
Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Dr. Ismail di sini semalam.

Penunggang motosikal maut dirempuh kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti dalam kemalangan di Jalan Tun Dr. Ismail di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan pada pukul 8.10 malam itu berlaku apabila sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang oleh mangsa sedang bergerak dari arah Taman Templer menuju ke arah Taman Jayamas.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai telah keluar dari simpang dan membelok ke kiri sebelum dilanggar sebuah kenderaan masih belum dikenal pasti yang sedang bergerak terus di laluan utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nanda berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah di bawa ke HTJ untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian ketika berada di ICU.

“Pihak polis memohon sesiapa yang menyaksikan kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 016-2895801 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI