fbpx

[VIDEO] Penumpang sesak nafas, kekejangan feri terkandas lebih 4 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang yang mengalami sesak nafas dan masalah kesihatan lain dipindahkan menggunakan aset APMM dan bot nelayan ke Terminal Feri Kuala Kedah.

ALOR SETAR – Beberapa penumpang dilaporkan mengalami sesak nafas dan kekejangan selepas feri dinaiki mereka terkandas di perairan Kuala Kedah di sini sejak pukul 3 petang tadi.

Kesemua penumpang terlibat kemudian dipindahkan menerusi operasi pemindahan perubatan (Medevac) menggunakan aset Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan.

Turut dipindahkan ialah penumpang dalam kalangan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan serta ibu bersama bayi.

Seorang penumpang, Muhammad Faizal Abdullah, 36, berkata, feri tersebut berlayar dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

“Bagaimanapun, feri tiba-tiba tersangkut pada beting lumpur tidak jauh dari Terminal Feri Kuala Kedah kira-kira pukul 3 petang.

“Kami sudah lebih empat jam terkandas dan ketika ini terdapat sebuah bot yang menarik keluar feri dari lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, beberapa penumpang yang mengalami masalah kesihatan telah dipindahkan ke bot lain.

“Secara kebetulan, ada dalam kalangan penumpang terdiri daripada pegawai perubatan yang kemudian membantu mereka yang mengadu mengalami kekejangan.

“Keadaan terkawal, namun kebanyakan bayi dan kanak-kanak menangis kerana keadaan panas dan terlalu lama berada di dalam feri,” ujarnya.

Menurutnya, ramai penumpang yang keluar dari ruang tempat duduk dan duduk di kawasan terbuka.

“Feri cuba ditarik keluar, namun sehingga pukul 7.30 malam ini feri belum dapat bergerak,” ujarnya.

Tambahnya, dia dalam perjalanan pulang ke Padang Terap selepas menghantar isterinya yang hamil ke kampung di Langkawi.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan sebuah feri terkandas di Muara Kuala Kedah akibat air surut pada pukul 4.15 petang tadi.

Katanya, seramai 547 penumpang dilaporkan berada di dalam feri berkenaan dan menurut maklumat diterima, terdapat beberapa penumpang mengalami sesak nafas.

“Bantuan awal Medevac ke atas penumpang tersebut berjaya dilakukan oleh aset bot Zon Maritim Kuala Kedah pada pukul 5.37 petang.

“Aset terlibat ialah Bot Perkasa 1224 APMM serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan berikutan hanya bot kecil sahaja boleh merapat di feri tersebut dalam usaha untuk membawa penumpang,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini proses membawa keluar kesemua penumpang feri masih giat dilakukan.

“MRSC Langkawi juga telah dimaklumkan dan koordinasi lanjut sedang dilaksanakan bagi memastikan kesemua penumpang selamat dipindahkan ke darat,” tambahnya.

Feri yang membawa 547 penumpang masih belum berjaya ditarik keluar dari kawasan beting lumpur di perairan Kuala Kedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI