fbpx

Tak dapat cikgu, Nora okey anak pilih kerjaya seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORA Ariffin tidak kisah anak perempuannya, Putri Dahlia mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nora Ariffin menyokong keputusan anaknya Putri Dahlia untuk menjadi penyanyi selepas permohonan melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan gagal.

Nora, 49, berkata, dia percaya rezeki anaknya untuk menyambung pelajaran dan bergelar guru bahasa Inggeris masih belum sampai.

“Sebenarnya Putri Dahlia bercita-cita nak jadi guru Bahasa Inggeris, memandangkan saya pun selalu baca bahawa kita kekurangan guru-guru tersebut terutama sekali di luar bandar.

“Sebagai ibu memang saya sokong bila dia pilih untuk jadi pendidik. Itu kerjaya yang sangat mulia.

“Malangnya semua permohonan ditolak. UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris), UiTM (Universiti Teknologi Mara), UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), semuanya tak dapat.

“Mungkin tiada rezeki, jangan putus asa dan kena cuba lagi,” ujarnya.

Terdahulu, lagu ciptaan nyanyian Putri Dahlia atau nama sebenarnya Putri Nur Dahlia mendapat perhatian dan tular dalam Tiktok.

Putri Dahlia menghasilkan beberapa lagu bahasa Inggeris antaranya Set U Free, Mi amor, Butterflies dan Old Love.

Lagu berjudul Old Love nyanyiannya bersama Yuji mencatat 7.6 juta tontonan selepas dua bulan dimuat naik dalam YouTube.

Sementara itu, Nora berkata, anak ketiganya itu mewarisi bakat seni daripada arwah suaminya Johan Nawawi.

Penyanyi Di Persimpangan Delima itu juga berharap Putri Dahlia memanfaatkan bakat yang ada itu sebaik mungkin.

“Akhirnya Putri Dahlia fokus kepada nyanyian, mencipta lagu, tulis lirik dan terbitkan lagu. Persis Johan Nawawi.

“Sebagai ibu, saya hanya sokong dan berdoa agar anak yang banyak mewarisi bakat arwah Johan ini berjaya dunia dan akhirat. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI