PETALING JAYA – Suami orang yang berjawatan tinggi dan bergaji besar menjadi sasaran wanita bujang yang sanggup menjadi isteri kedua semata-mata mahu mengikis duit dan harta benda lelaki itu untuk hidup senang.
Jika tidak diberikan wang atau memenuhi keinginan, wanita terbabit akan mengugut suami untuk membongkar perkahwinan rahsia mereka kepada isteri pertama dengan menyebarkan gambar-gambar romantik dan video intim.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, wanita seperti itu dipanggil scammer kerana mereka hanya mahukan suami orang semata-mata ingin mendapatkan wang dalam masa singkat.
Menurutnya, ada pasangan yang hampir menceraikan isteri pertama gara-gara diperdaya isteri muda yang kononnya lebih setia dan ikhlas menyayanginya.
“Bagaimanapun, kebiasaannya, perkahwinan mereka tidak kekal lama, ada yang hanya enam bulan dan paling lama pun setahun lebih sahaja,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Hushim berkata, sebanyak lima kes telah beliau kendalikan berkaitan isu tersebut sepanjang tahun ini dan kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan ternama dan berjawatan tinggi.

Ujarnya, kebanyakan mangsa mengadu sangat tertekan kerana sentiasa diugut isteri muda yang sering meminta wang supaya perkahwinan mereka tidak diketahui isteri pertama.
“Ada mangsa mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit gara-gara mahu melindungi rahsia itu. Kebanyakan isteri muda akan guna gambar serta video intim mereka sebagai bahan ugut.
“Bagi mengelakkan perkahwinan kedua itu diketahui isteri pertama, si suami terpaksa mengikuti semua permintaan bini muda selain mahu menjaga nama baik keluarga,” ujarnya.
Hushim berkata, ada suami yang berniat untuk membunuh diri akibat stres kerana sentiasa diugut isteri muda.
Bagaimanapun, katanya, niat itu berjaya dihalang selepas mangsa hadir sesi kaunseling.
“Lelaki memang seronok apabila dapat berkahwin ramai, tetapi ramai juga menderita jika salah memilih pasangan (isteri kedua) kerana tidak mendapat restu isteri pertama.
“Sepanjang mengendalikan sesi kaunseling sejak 40 tahun lalu, puluhan ribu kes poligami telah saya kendalikan, hanya dua orang isteri sahaja yang bersetuju untuk berpoligami,” jelasnya.
Pada 15 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan, wanita bujang lebih selesa memilih suami orang sebagai pasangan hidup berbanding lelaki bujang atas faktor kematangan lelaki itu, kehidupan stabil dan romantik.
Malah, ramai wanita bujang mengakui lelaki yang sudah berkahwin terbukti pandai menguruskan rumah tangga, bertanggungjawab dan boleh menjadi pelindung serta pembimbing kepada mereka.














