fbpx

Tangan Nas-T berlubang lakonkan sendiri babak aksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAS-T mengingatkan mana-mana produksi agar menyediakan pelakon lagak ngeri bagi menggantikan pelakon yang tidak mempunyai kemahiran ketika menjayakan babak bahaya.

PETALING JAYA – Gara-gara melakonkan sendiri babak aksi, pelakon Nas-T mendedahkan dirinya pernah mengalami kecederaan serius sehingga menyebabkan bahunya terkehel selain tulangnya terkeluar.

Bahkan sewaktu menjalani penggambaran filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, tangannya ‘berlubang’ kerana terkena senjata sewaktu melakukan aksi pergelutan dalam suasana gelap.

Nas-T atau nama lengkapnya Nas Muammar Zar Nasruddin berkata, kemalangan tersebut merupakan antara risiko yang perlu ditanggung oleh seseorang pelakon apabila melakukan sendiri babak aksi tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri.

“Saya sendiri yang mahu melakukan sendiri babak aksi itu tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri. Tapi tak apalah sebab saya pernah jalani latihan sebelum ini dan berpengalaman.

“Cuba bayangkan jika seseorang pelakon tak ada pengalaman?” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Nas-T, 39, berkongsi pengalamannya melakukan sendiri babak aksi ketika disoal tentang kewajaran seseorang pelakon disuruh pengarah untuk melakukan sendiri adegan lasak.

Sehubungan itu, dia mengingatkan mana-mana produksi supaya jangan sewenang-wenangnya menyuruh pelakon yang tidak mempunyai kepakaran melakonkan sendiri babak aksi (lagak ngeri) bagi mengelak perkara tidak diingini terjadi.

Katanya, babak aksi yang dilakukan pelakon tidak berkemahiran boleh mengakibatkan kecederaan atau lebih buruk lagi berisiko membawa maut.

“Produksi perlu menjauhkan bahaya kepada pelakon untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Jika tersalah percaturan, silap-silap boleh mengakibatkan kecederaan atau lebih buruk lagi menyebabkan kematian,” jelasnya.

Tambah pelakon itu lagi, produksi seharusnya menyediakan pelakon lagak ngeri untuk menjayakan babak aksi jika seseorang pelakon itu tidak mempunyai pengalaman atau latihan bagi melakukan babak tersebut.

“Produksi juga harus mengkaji risiko yang ada sebelum memberikan sebarang arahan kepada pelakon bagi mengelak sebarang kejadian buruk terhadap mereka,” katanya.

Nas-T yang ditemui ketika majlis pratonton filem pendek terbaharu lakonannya iaitu Astana The Series baru-baru ini turut berkata, dia tidak meletakkan kepercayaan mudah kepada mana-mana sutradara untuk mengarahkan dia melakonkan babak aksi lasak.

“Saya terlebih dahuulu mengadakan perbincangan dan perlu mengetahui mutu kerja pengarah berkenaan.

“Kalau tidak, memang ibarat menyerah tengkuk sendiri untuk cedera,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online sebelum ini melaporkan pelakon Wafariena Roslan mengalami kecederaan pada perut dan tisu punggungnya pula koyak selain berlaku pendarahan semasa terbabit dalam penggambaran sebuah drama pada 8 Oktober lalu.

Ibu Wafariena, Suzana Hamad, mendakwa anaknya itu diminta melakonkan aksi tersebut hingga 12 kali walaupun selepas dimaklumkan mengalami kecederaan.

Susulan itu, Suzana memberi tempoh seminggu bermula Isnin lalu untuk pihak produksi tampil menyelesaikan isu terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI