fbpx

Pemandu lori bebas jaminan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang memaparkan keadaan sebuah kereta yang sedang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 45, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Sedenak

KULAI – Pemandu lori yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini, Sabtu lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, sepanjang tempoh reman, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh pemandu lori berusia 37 tahun dari Shah Alam itu.

Beliau berkata, siasatan berhubung kemalangan yang menyebabkan dua mangsa terkorban diteruskan walaupun tempoh reman pemandu lori itu berakhir pada semalam.

“Reman pemandu lori itu telah selesai semalam (Khamis). Bagaimana pun, tiada sebarang pengakuan yang dapat direkodkan daripada lelaki terbabit

“Siasatan berhubung kejadian itu masih berjalan sehingga ke hari ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tindakan pemandu lori itu yang menukar arah ke lorong kiri menjadi punca dua individu dalam dua kereta berasingan rentung dalam kemalangan membabitkan dua lori dan tiga buah kereta.

Dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 8.30 malam itu, mengorbankan seorang wanita, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, dan seorang lelaki yang identitinya belum dapat dikenal pasti.

Nurul Nazihah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi, Ahad lalu manakala seorang lagi mangsa masih belum dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.

Sebuah keluarga dari luar Johor telah hadir ke Hosptial Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim minggu lalu bagi membuat pengecaman susulan anak mereka juga didakwa hilang pada waktu yang sama.

Beng Yeow berkata, siasatan masih diteruskan menjurus kepada aspek teknikal dengan bantuan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor.

“JPJ turut membantu bagi membantu dari segi teknikal, terutamanya bagi mengesan (kelajuan) kenderaan terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Beng Yeow berkata, setakat ini hanya ada satu keluarga sahaja yang tampil untuk membuat pengecaman mayat yang belum dikenal pasti tersebut.

Katanya, keluarga tersebut perlu menunggu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diperolehi pada minggu depan untuk mengetahui sama ada mayat rentung itu adalah ahli keluarga mereka.

“Setakat ini, hanya ada sebuah keluarga sahaja yang hadir tampil untuk membuat ujian pemadanan DNA,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI