fbpx

‘Kalau Caprice nak saman, silakan’ – Ameer Ali Mydin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ameer Ali (kir) terbuka sekiranya Caprice ingin menyaman pihaknya, namun bertegas bahawa Mydin tidak menyebut nama mana-mana individu pada hantarannya.

PETALING JAYA – “Kami (Mydin) tak ada sebut nama Caprice atau ‘tag’ Caprice dalam hantaran kami, kenapa dia nak terasa”.

Demikian maklum balas diberikan oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin berhubung tindakan penyanyi rap sensasi, Ariz Ramli atau Caprice yang bakal menyaman pasar raya tersebut sebanyak RM30 juta.

Katanya, pihaknya tidak membuat sebarang kesalahan dalam mana-mana ciapan dan hantaran yang dimuat naik di platform media sosial Mydin serta tiada sebarang unsur perlian atau menghina individu tertentu.

“Siapa makan cili, dia yang rasa pedas.

“Kalau betul Caprice nak saman, hantar surat saman kepada pihak kami, biar peguam saya nanti akan semakkan,” katanya ringkas.

Semalam, Caprice menerusi hantarannya di Instagram memaklumkan, dia tidak teragak-agak untuk menyaman Mydin sekiranya tiada sebarang permohonan maaf daripada pihak tersebut dalam tempoh 24 jam susulan ciapan yang didakwa memalukan dirinya.

Bagaimanapun, Caprice hari ini sekali lagi memuat naik hantaran di InstaStory menawarkan perbelanjaan secara percuma kepada rakyat Malaysia di pasar raya tersebut.

“Cap nak belanja rakyat Malaysia beras, minyak dan tiga bahan lain ikut pilihan anda secara percuma minggu hadapan. Pilih lokasi mana korang (kalian) nak Cap belanja.

“Subang Jaya, Bukit Jelutung atau Batu Caves,” tulisnya.

Mengulang lanjut, Ameer Ali mengatakan sekiranya benar Caprice ingin melakukan kerja amal di pasar rayanya, dia amat mengalu-alukan kehadiran mereka selain menawarkan 1 kilogram (kg) paket gula kepada yang terlibat.

“Baguslah kalau Caprice nak buat kerja amal, bantu orang ramai, jangan lupa hubungi pihak Mydin ikut cawangan yang diinginkan.

“Saya pun nak bantu juga, bagi yang terlibat Mydin akan beri 1kg gula kepada anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI