fbpx

Mahkamah: Permohonan Najib cabar keputusan Jabatan Penjara wajar ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak agar beliau dibenar mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang menghalangnya daripada menghadiri sidang Parlimen wajar ditolak.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu kini akademik kerana tidak disokong oleh alasan yang relevan.

Shamsul menghujahkan, permohonan Najib wajar ditolak kerana beliau bukan lagi bergelar Ahli Parlimen Pekan ekoran pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

“Dakwaan dan aduan yang menjadi asas dalam permohonan semakan kehakiman tidak boleh dikekalkan dan relif yang dipohon terhadap responden-responden kini akademik dan tidak lagi mendatangkan kesan yang praktikal,” hujah Shamsul.

Sehubungan itu, beliau mahukan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditolak kerana Najib tidak lagi terikat untuk melaksanakan tugas-tugas keperlembagaannya.

Shamsul berhujah demikian ketika membantah permohonan Najib agar beliau dibenar memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Najib memohon dua pengisytiharan iaitu diberikan kebenaran mengakses pegawai parlimennya bagi menjalankan fungsi beliau sebagai Ahli Parlimen dan dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Najib masih bergelar Ahli Parlimen Pekan dan perlu melaksanakan tugas-tugas keperlembagaan sebagai wakil rakyat berdasarkan Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.

Hujah beliau, Najib berpotensi untuk dinamakan sebagai calon pilihan raya dan sepatutnya diberikan hak untuk berjumpa rakyat di kawasannya.

Alasan responden-responden ketika menolak permohonan Najib atas faktor keselamatan adalah tidak munasabah kerana bangunan Parlimen di bawah kawalan kerajaan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan 27 Oktober ini bagi keputusan permohonan Najib. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI