fbpx

Isu aksi lagak ngeri, pelakon boleh tolak – Zahiril Adzim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHIRIL ADZIM

PETALING JAYA – Berpengalaman melakonkan sendiri aksi lagak ngeri sepanjang karier lakonan, aktor terkenal Zahiril Adzim menegaskan pelakon mempunyai hak untuk menolak atau berkata ‘tidak’ jika diminta menjayakan babak yang dirasakan membahayakan keselamatan dalam mana-mana drama mahupun filem.

Mengulas isu seorang aktres mengalami kecederaan susulan melakukan sendiri aksi lagak ngeri, Zahiril bagaimanapun memberitahu pelakon yang sukarela melakukan aksi berbahaya tidak seharusnya menyalahkan pihak lain sepenuhnya , sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Pelakon ada hak untuk menolak. Sekiranya tiada keyakinan, jangan buat.

“Boleh cabar kemampuan diri sekiranya ada keyakinan tetapi perlu ingat, sekiranya terjadi sebarang perkara, tidak boleh letakkan 100 peratus kesalahan kepada orang lain melainkan dipaksa,” katanya kepada Kosmo! Online selepas tayangan filem baharu lakonannya, Siku 12 di sini semalam.

Ujarnya, sebelum melakukan sebarang babak bahaya, pihak produksi dan pelakon sepatutnya berbincang bersama tentang persiapan daripada aspek keselamatan dan sebagainya.

“Sebenarnya semasa tempoh pra produksi, jika pelakon sudah beritahu tidak boleh buat, pihak produksi sudah boleh bersedia dengan pelakon aksi lagak ngeri lain.

“Apapun perkara sebegini tidak boleh dipaksa. Jika benar dipaksa, perkara sebegitu itu tidak sepatutnya terjadi,” kata pemilik nama penuh Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar berkenaan.

Dalam masa sama, dia juga berharap agar ada persatuan dan pihak tertentu yang tampil melindungi nasib anak seni yang cedera ketika melakonkan aksi lagak ngeri.

“Saya betul-betul berharap ada persatuan yang boleh tampil membantu sekiranya benar ada pelakon dipaksa melakonkan aksi lagak ngeri tersebut,” katanya lagi.

Minggu ini, nama pelakon cantik, Wafariena menjadi perhatian ramai apabila dia mengalami kecederaan dalaman apabila tisu punggung dan perutnya koyak selepas melakukan aksi lagak ngeri dalam sebuah penggambaran drama di Lenggong, Perak pada 8 Oktober lalu.

Difahamkan, Wafa menjalani penggambaran untuk sebuah drama seram yang diarahkan oleh pengarah baharu, juga terbitan sebuah syarikat produksi baharu untuk tayangan sebuah stesen televisyen berbayar popular.

Sehingga semalam, ibunya, Suzana Hamad memberi kata dua kepada sebuah syarikat produksi agar tampil bertanggungjawab atas kecederaan yang menimpa anaknya atau laporan polis dibuat sebagai jalan penyelesaian mengikut lunas undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI