FRANKFURT – Penulis Switzerland, Kim de l’Horizon mencukur kepalanya di atas pentas selepas memenangi anugerah penulisan berprestij, German Book Prize semalam sebagai menunjukkan solidariti dengan wanita yang mengadakan protes di Iran.
“Anugerah ini bukan untuk saya sahaja. Panel juri memilih buku saya untuk menghantar isyarat menentang kebencian, memupuk rasa cinta dan demi perjuangan semua individu yang ditindas kerana tubuh badan mereka,” katanya kepada hadirin pada majlis penyampaian anugerah di Frankfurt.
Selepas diumumkan sebagai pemenang untuk novel sulungnya, Blutbuch (Buku Darah), penulis bermisai itu naik ke pentas dan menyanyikan sebuah lagu, sebelum menggunakan pencukur elektrik untuk mencukur rambutnya di atas podium.
“Dengan tenaga kreatif yang luar biasa, penulis novel bukan binari, Kim de l’Horizon… mencari bahasa mereka sendiri,” kata panel juri.
Penggunaan ganti nama mereka adalah kerana De l’Horizon menganggap dirinya bukan binari iaitu individu berjantina bukan lelaki ataupun wanita. German Book Prize memberi penghormatan kepada novel berbahasa Jerman terbaik tahun ini dan disertakan dengan hadiah wang tunai berjumlah AS$24,600 (RM116,112).
Majlis anugerah itu secara tradisinya mendahului permulaan pesta buku Frankfurt iaitu pameran buku terbesar dunia, yang bermula hari ini hingga Ahad ini.
Iran digemparkan dengan gelombang protes sejak kematian Mahsa Amini, 22, bulan lalu, beberapa hari selepas dia ditangkap oleh polis moral di Teheran kerana didakwa melanggar kod pakaian Iran untuk kaum wanita. – AFP














