fbpx

BTS sah jalani latihan tentera, berkumpul semula 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BTS

SELEPAS dua tahun mendapat pengecualian khas, anggota kumpulan K-pop, BTS akhirnya akan menyertai latihan wajib perkhidmatan tentera.

Dimulakan dengan kemasukan Jin ke kem tentera dalam masa terdekat, ahli lain iaitu Jungkook, RM, Jimin, SUGA, V dan  JHope yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun pula akan menyusul dengen mengikut ketetapan pihak berkuasa seperti biasa.

Difahamkan, Jin, 29, perlu berkhidmat selama dua tahun, sekaligus bermakna dia tidak akan membuat sebarang penampilan bersama band tersohor terbabit sepanjang tempoh itu.

“Jin akan membatalkan permintaan untuk menangguhkan pendaftaran pada akhir Oktober 2022 dan mengikuti prosedur berkaitan Pentadbiran Tenaga Kerja Tentera.

“Kedua-dua pihak, syarikat dan ahli BTS bagaimanapun tidak sabar untuk berkumpul semula sebagai sebuah kumpulan pada 2025 bagi melunaskan komitmen terhadap mereka kepada kerjaya seni, ” kata BigHit Music yang menguruskan BTS.

Di Korea Selatan, semua lelaki yang sihat tubuh badan berusia antara 18 dan 28 tahun diwajibkan berkhidmat dalam tentera antara tempoh 18 dan 21 bulan.

Sebelum ini timbul isu sama ada anggota kumpulan K-pop ternama itu dikecualikan menjalani latihan ketenteraan atau pun tidak kembali hangat dibincangkan.

Perbahasan sejak bertahun-tahun itu kembali memanas memandangkan Jin yang juga anggota tertua bakal mencecah usia 30 tahun pada Disember ini.

Pengesahan kemasukan BTS dalam latihan ketenteraan sudah pasti membuatkan peminat tegar yang mengelarkan diri mereka sebagai Army antara kelompok paling bersedih.

Bagi mereka, sepanjang lebih sedekad aktif dalam dunia hiburan, BTS sudah banyak berbakti kepada negara dengan meraih pelbagai pencapaian membanggakan di luar negara.

Beberapa penggubal undang-undang juga telah menggesa supaya BTS dikecualikan daripada kewajiban berkenaan.

Terdahulu, sekitar tahun 2020 Korea Selatan meluluskan pindaan akta bagi membenarkan ahli kumpulan K-pop terkemuka seperti BTS untuk melanjutkan usia maksimum perkhidmatan ketenteraan wajib kepada 30 tahun.

Pindaan kepada Akta Khidmat Tentera itu bertujuan memberi kemudahan kepada bintang mega K-pop terkemuka dunia yang banyak menyumbang kepada kebudayaan dan ekonomi negara.

Sebelum ini, Korea Selatan membenarkan segelintir pelajar terpilih untuk menangguhkan perkhidmatan sehingga umur 28 tahun mengikut kriteria tertentu.

Malah pengecualian sama turut diberikan kepada penghibur berprofil tinggi, pemuzik dan penari klasik yang memenangi hadiah utama pada pertandingan tertentu selain atlet negara seperti peraih pingat emas Sukan Olimpik dan Asia termasuk pemain serangan Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

Menteri Pertahanan Seoul pada Ogos pula berkata, BTS mungkin dibenarkan untuk terus membuat persembahan dan persediaan bagi konsert antarabangsa walaupun semasa menjalankan tugas ketenteraan.

Pada Jun lalu, BTS mengumumkan kumpulan itu berehat daripada sebarang aktiviti untuk meneruskan projek solo yang menimbulkan persoalan tentang masa depan kumpulan itu.

Bagaimanapun, mereka bersatu semula bagi mengadakan konsert percuma baru-baru ini di Busan bagi menyokong usaha Korea Selatan menganjurkan Ekspo Dunia 2030 di bandar pelabuhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI