JOHOR BAHRU – Penduduk setempat dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki tidak berbaju di tepi jalan sebuah lorong di kawasan Senai, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, anggota polis di Balai Polis Senai menerima maklumat penemuan mayat tak dikenali itu kira-kira 2.30 petang.
Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan anggota dari balai berkenaan bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati mayat dalam keadaan baring terlentang dan hanya memakai seluar.
“Tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada badan si mati. Siasatan awal dijalankan dapati si mati dipercayai telah meninggal dunia hampir tujuh hari yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beng Yeow berkata, hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang peralatan tajam dan polis mengklasifikasikan laporan polis tersebut sebagai kes mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital.-KOSMO! ONLINE