fbpx
KIFLI (empat dari kanan) dan Janagarajan (tiga dari kiri) bersama para pelajar Kohort Empat di Akademi JPJ, Ayer Molek, Melaka.

20 tahun akademi lahirkan pegawai JPJ berintegriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIBANGUNKAN di atas tanah berkeluasan 68 hektar di Ayer Molek, Melaka pada tahun 2002, Kampus Induk Akademi Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia terus melahirkan pegawai-pegawai berintegriti tinggi termasuk hampir 6,000 pemegang Sijil Pengajian Institut Memandu (SPIM) dalam masa lima tahun.

Dengan sijil tersebut pemegang lesen boleh mengembangkan kerjaya, meningkatkan lagi prestasi serta pendapatan di institut memandu berkenaan.

Pada tahun ini, akademi tersebut menyambut ulang tahun ke-20 dengan pencapaian-pencapaian penting yang menyumbang kepada kemampanan penguatkuasaan negara.

Ini termasuklah menawarkan platform kepada kakitangannya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di peringkat dioploma secara percuma, menerbitkan buku teks kurikulum pendidikan memandu, membangunkan litar latihan dan ujian memandu serta melakukan jalinan industri termasuk di peringkat antarabangsa.

Pengarahnya, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sejak mula beroperasi pada 2002, akademi itu telah menganjurkan sebanyak 6,540 kursus yang relevan dengan keperluan semasa.

“Penubuhan Akademi JPJ merupakan pemangkin kepada usaha-usaha pembangunan sumber manusia menerusi perancangan dan pelaksanaan latihan yang berkualiti.

“Secara amnya, program latihan JPJ dibangunkan dengan objektif untuk membentuk sikap dan tingkah laku serta menyerapkan latihan bersifat ilmiah, fizikal, psikologi dan kerohanian.

“Kita turut menerapkan program pembangunan kompetensi, kursus mengikut bidang perkhidmatan, kursus generik, latihan untuk jurulatih dan lain-lain bagi membentuk warga kerja yang cemerlang serta mampan,” katanya.


KETUA Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim memberikan sokongan semangat kepada salah seorang peserta yang tamat kursus pengiring rapat pada tahun ini dengan cemerlang.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, akademi itu juga memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelbagai industri pengangkutan negara dan satu nota kerjasama turut dibuat bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan pada 2021 untuk merangka serta melaksanakan program-program yang menggunakan pendekatan whole government approach dan whole society approach.

Antara hasil kerjasama itu adalah pelaksanaan Program Pentauliahan Pemandu Ambulans yang melibatkan kira-kira 8,000 peserta pemandu ambulans secara berperingkat, merangkumi modul, latihan, kursus, penilaian dan penyelidikan berkaitan.

“Kerjasama berterusan juga membolehkan program ini dilaksanakan sama ada dalam bentuk pelesenanan atau pemberian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), yang mana ia memberi keupayaan kepada kerajaan untuk menimbangkan perluasan skop pemandu ambulans di sektor swasta sebagai penyumberluaran (outsourcing).

“Selain agensi kementerian dan automotif, kita juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti untuk penggunaan tenaga pakar seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknlogi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), DRB-Hicom Universiti, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM),” katanya.

Pada 2019, Akademi JPJ menubuhkan Program Diploma Eksekutif Pengurusan Pengangkutan dan Penguakuasaan (DEPPP) yang dianjurkan selama lima tahun sehingga 2024 dengan melibatkan seramai 150 pelajar.


KIFLI berbangga dengan pencapaian yang telah dilakar Akademi JPJ dalam usaha melahirkan warga penggerak jabatan itu yang berpendidikan dan berintegriti. – RASUL AZLI SAMAD

Calon-calon pelajar program DEPPP adalah dalam kalangan pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) dari seluruh negara yang berkhidmat dengan tahap pendidikan tertinggi SPM.

Kos pengajian adalah ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan tenaga pengajar adalah terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari UiTM.

“Tempoh pengajian adalah selama 15 bulan dan pembelajaran adalah di akademi ini sendiri. Program ini juga telah mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Qualification Agency (MQA).

“Berdasarkan Kohort yang telah menamatkan pengajian, seramai 16 pelajar berjaya mendapat Anugerah Naib Canselor di akhir pengajian dan sembilan naskhah Projek Tahun Akhir pelajar Kohort Satu telah dibentangkan dan diterbitkan dalam beberapa persidangan di peringkat dalam dan luar negara.

“Kini, Kohort Empat telah melaporkan diri pada 2 Oktober lalu dengan bilangan seramai 28 pelajar,” katanya.

Jelasnya, hasil kerjasama dengan UKM, akademi itu dijangka menawarkan program sarjana muda bagi bidang pengangkutan dan logistik melibatkan pengambilan pelajar seramai 15 orang pada setiap tahun bermula tahun hadapan.

Dalam pada itu, akademi pengangkutan itu turut dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia sebagai Badan Peneraju Industri (ILB) bagi bidang pengangkutan jalan bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023.

Menurut Kifli, sehingga kini akademi itu menyasarkan untuk meluluskan sebanyak 100 permohonan bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga pada tahun hadapan.


SEBAHAGIAN kakitangan JPJ yang telah mendaftarkan diri di Akademi JPJ bagi mengikuti pengajian di akademi tersebut baru-baru ini.

“Kita akan menjadi peneraju untuk perkara-perkara membabitkan pengangkutan jalan seperti mentauliahkan tenaga pengajar institut memandu yang berkelayakan dengan diberi sijil SKM Tahap Tiga.

“InsyaAllah pada tahun hadapan kita akan cuba untuk melahirkan lebih kurang 100 orang pemegang-pemegang lesen dengan sijil pengajar institut memandu Tahap Tiga ini,” katanya.

Selain prestasi cemerlang yang ditonjolkan oleh akademi, pusat latihan itu turut merekodkan sejarah baharu apabila pasukan pacaragam Mega Simfoni JPJ terlibat dalam sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Seramai 40 pegawai dan anggota JPJ telah mengambil bahagian dalam acara tersebut di mana para peserta telah menjalankan sesi latihan secara intensif selama dua minggu di akademi berkenaan.

Persembahan itu adalah yang pertama kali dilakukan sepanjang 76 tahun penubuhan JPJ di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN