fbpx

Sukar bernafas, Aiman Tino masuk wad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi Aiman Tino dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta disebabkan sesak nafas.

PETALING JAYA – Penyanyi Aiman Tino dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Setapak, sejak semalam selepas mengalami masalah sesak nafas.

Ibunya, Hazelina Mat Jalil berkata, Aiman dibawa ke hospital untuk pemeriksaan rapi selepas mengalami gejala batuk berpanjangan.

“Memang kalau tengok keadaannya agak merisaukan. Jadi kami bawa Aiman buat pemeriksaan dengan pakar supaya dapat kenal pasti masalah sebenar dihadapinya.

“Selepas itu doktor mengusulkan supaya dia dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan menyeluruh.

“Pemantauan juga akan dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Bagaimanapun Hazeline memaklumkan, keadaan Aiman kini semakin positif biarpun perlu menggunakan oksigen untuk menstabilkan pernafasan.

Akui Hazelina, paling dibimbangkan andai anaknya itu menghidap lelah biarpun sebelum ini tiada sejarah dia pernah berhadapan masalah tersebut.

“Sebagai ibu sudah pasti hati tak tenang setiap kali anak-anak kurang sihat, sampaikan kita pun susah tidur lena.

“Walaupun masing-masing sudah besar panjang, saya sentiasa anggap anak-anak masih kecil terutama ketika mereka sakit.

“Alhamdulillah Aiman dalam keadaan stabil dan perlu berehat serta menggunakan bantuan oksigen,” katanya.

Pada masa sama, ibu penyanyi Ku Rela Dibenci itu meminta orang ramai mendoakan kesihatan anaknya.

Terdahulu, Hazelina, 45, berkongsi sekeping foto dalam media sosial yang menunjukkan Aiman terbaring di katil hospital dan memakai topeng oksigen.

Ibu kepada 11 cahaya mata itu turut menyertakan kapsyen pendek: “Mak doakan Aiman cepat sembuh.” – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI