MENINGGALKAN bidang perguruan sejak Mac lalu demi melestarikan kecintaan ke gelanggang seni yang entah apa jaminan masa depan bukan satu sesalan pelawak muda dengan nama pentas Namie.
Bukan setahun dua, namun sudah lama anak kelahiran Negeri itu memperkenalkan diri dalam media sosial sebagai YouTuber.
Pada waktu tersebut, dia baru berusia 18 tahun dan masih menuntut di sebuah Institut Perguruan Guru.
Kecintaannya terhadap dunia hiburan dan keinginan menjadi anak seni sudah terbiak dalam diri.
Tinggal lagi, belum ada peluang, ruang dan platform yang betul-betul tepat mahu dibolos mengadu bakat.
Justeru, YouTube dan TikToklah yang menjadi saksi dan pentas buat anak muda bernama Namie itu berkarya.
Mungkin ramai tahu, anak muda berkulit sawo matang itu mula menyapa warga maya menerusi video-video paradi, lagu cover dan banyak lagi.

Guru sekolah rendah
Seperkara yang mungkin ramai sudah tahu atau mungkin baru pertama kali tahu, sebelum terjun dalam bidang seni secara serius bermula tahun ini, Namie pernah berkhidmat sebagai seorang penjawat awam.
Lebih menarik, di sebalik perwatakan gila-gila, sempoi dan melucukan, dia juga seorang guru atau pendidik di salah sebuah sekolah rendah di Serting Ulu yang terletak di Simpang Pertang, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Mungkin sudah tertulis, rezekinya dalam dunia perguruan hanya bertahan selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pendidik demi fokus kepada dunia seni.
“Sebenarnya ramai orang tak tahu yang saya sebenarnya bukanlah baru berhenti selepas jadi juara Maharaja Lawak Superstar musim ketiga (MLS3) baru-baru ini.
“Sebenarnya sebelum masuk MLS3 lagi saya dah memang ambil keputusan untuk berhenti, tetapi ramai yang tidak tahu.
“Saya juga minta maaf kepada pihak media kerana sudah ‘menipu’ bila mengatakan yang saya ambil cuti tanpa gaji selama MLS berlangsung,” katanya.

Tiada jiwa jadi pendidik
Berpeluang bertemu dengan pemilik nama sebenar Najmi Shaharudin untuk fotografi istimewa ini minggu lalu, Namie mengakui tiada sekelumit kekesalan terdetik dalam dirinya selepas meninggalkan pekerjaan bernama guru demi bergelar seorang selebriti.
Sedar bakal berdepan pelbagai kecaman, hinaan serta penghakiman tidak berasas, namun Namie ada sebab tersendiri.
“Jujur saya buat keputusan untuk meninggalkan kerjaya perguruan ini pun bukan sehari dua berfikir.
“Siang malam saya fikir masak-masak dan minta pendapat keluarga selain rakan-rakan terdekat serta isteri.
“Kalau saya terus mengajar tetapi jiwa rasa terpaksa bagaimana?
“Apa yang bakal terjadi dengan anak didik saya?
“Jadi sebab itulah saya nekad untuk berhenti,” tuturnya jujur.
Tambah Namie, Mac merupakan tarikh terakhirnya berkhidmat sebagai guru subjek Bahasa Melayu dan Muzik setelah hampir tiga tahun menabur bakti.

Bodoh
Namie juga percaya, rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana sahaja asalkan disertakan usaha berterusan.
“Ada orang kata saya buat keputusan ‘bodoh’ disebabkan melepas jawatan yang sudah menjamin masa depan, tapi saya percayakan rezeki Allah.
“Apa pun pekerjaan kita, kalau kita lakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, pasti ada rezeki,” katanya.

Berlakon, rakam single
Usai dinobatkan sebagai juara MLS3 beberapa minggu lalu, Namie bersyukur kerana rezekinya dipermudahkan Allah.
Kongsi Namie, sebaik sahaja tamat berentap dalam pertandingan berskala mega tersebut, dia mendapat tawaran dua telefilem yang akan memulakan penggambaran bulan depan.
Tidak sekadar lakonan, Namie bakal hadir dengan single perdana tidak lama lagi.
“Alhamdulillah rezeki milik Allah. Sebelum ini berpeluang untuk berlakon dalam filem Gadis Jolobu. Kali ini dapat berlakon untuk dua telefilem.
“Saya juga bakal bergelar penyanyi tidak lama lagi. Sudi-sudikan telinga anda untuk mendengar dan beri sokongan,” katanya seraya tertawa.
Ujar Namie lagi, bila sudah tiba masanya nanti, dia juga bakal mengusahakan sebuah perniagaan berasaskan pakaian bersama isteri.















