fbpx

AADK berbasikal edar risalah dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AADK daerah Rembau mengambil pendekatan menarik mengedarkan risalah tentang bahaya dadah di sekitar daerah ini. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Rembau mengambil pendekatan menarik mengedarkan risalah tentang bahaya dadah di sekitar daerah ini melalui aktiviti berbasikal.

Ketua AADK Daerah Rembau, Nur Athirah Hanis Datuk Baharudin berkata, kandungan risalah berkenaan turut diisi dengan panduan terperinci mengenai dadah dan peranan ibu bapa dalam memastikan anak mereka tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, aktiviti mengedar risalah sememangnya sudah biasa dilaksanakan, namun, kali ini kelainan diberikan melalui aktiviti berbasikal klasik bagi menarik perhatian lebih ramai masyarakat untuk sama-sama mendapatkan maklumat mengenai bahaya dadah ini.

“Malah dalam program ini juga kita turut sama mengalu-alukan masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat kepada kita mengenai aktiviti atau individu serta lokasi yang dicurigai tidak selamat serta kemungkinan berlakunya aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Kayuhan Berinfo di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, di sini pagi tadi.

Nur Athirah berkata, sempena program berkenaan seramai 30 individu berbasikal dan menjelajah di tiga lokasi utama bagi mengedarkan risalah iaitu di perkarangan pasaraya di Chembong, Rembau Sentral dan Pekan Rembau.

“Kita menyasarkan sebanyak 300 risalah diedarkan serta maklumat berkenaan nombor hotline AADK di talian 03-89112233 atau WhatsApp 019-6262233 bagi melaporkan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI