fbpx

Liga Super: Sri Pahang sekat hajat NSFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertahanan Sri Pahang, Kevin Ingreso diasak pemain NSFC, Ahmad Khuzaimi Piee pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi. - Foto oleh Sri Pahang

PETALING JAYA – Harapan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk merebut slot automatik ke pentas Piala AFC musim depan tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Sri Pahang pada aksi terakhir Liga Super sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu, skuad Hobin Jang Hobin yang dikendalikan oleh K. Devan telah membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan Gustavo Almeida, Yashir Pinto dan Zaquan Adha di posisi serangan.

Namun, pasukan pelawat dilihat sedikit tertekan dengan skuad Tok Gajah dilihat lebih mendominasi perlawanan di hadapan hampir 3,000 penyokong yang hadir ke stadium pada aksi kali ini.

Gol yang dicari tuan rumah akhirnya tiba menerusi tandukan David Rowley pada minit ke-27 selepas menerima hantaran Manuel Hidalgo.

Bersambung pada babak kedua, Rowley sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan NSFC apabila meledak jaringan kedua peribadi menerusi gol cantik luar kotak penalti pada minit ke-47.

Tersentak dengan jaringan tersebut, NSFC memperkemaskan jentera serangan dalam usaha merapatkan kedudukan tetapi setiap serangan mudah dipatahkan benteng Sri Pahang.

Skuad kendalian Datuk Dollah Salleh itu turut berpeluang untuk menambah gol ketiga tetapi tidak berjaya dengan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan NSFC menamatkan saingan Liga Super dikedudukan keempat musim ini dengan 41 mata manakala Sri Pahang meraih 28 mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI