KISAH perceraian dramatis handalan, Nad Zainal dengan bekas suaminya Muhammad Faliq Amirullah pada tanggal 3 September lalu pernah menggemparkan industri hiburan tanah air.
Masakan tidak, ketika berada di puncak kerjaya dengan deretan drama hit tanpa henti, peminat dikejutkan dengan berita kurang enak tersebut.
Tidak menyembunyikan kebenaran, bahkan akur dengan hakikat hidup, Nad tidak berbasa-basi atau membiarkan khabar angin mengatasi kebenaran.
Terbuka berkongsi tentang kehidupannya selepas bergelar ibu tunggal lebih sebulan lalu, pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin itu mengakui, kehidupan sehariannya kini jauh lebih tenang.
Sebagai individu yang melalui memori pahit yang menamatkan kebahagiaan berumah tangga bersama Faliq, Nad juga tidak terlepas dilempar kata-kata nista masyarakat.

kerjaya.
Lebih parah, ada yang berpandangan rumah tangga golongan selebriti selalunya tidak akan bertahan lama.
“Ramai selebriti yang berkahwin dan rumah tangga mereka bahagia. Semuanya terletak pada pasangan itu sendiri kerana setiap orang melalui pelbagai situasi yang berbeza.
“Saya bantah apabila terdapat segelintir individu berpandangan rumah tangga golongan selebriti tidak akan kekal sedangkan orang biasa pun ramai juga bercerai-berai,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tutur wanita berusia 32 tahun itu, prinsipnya untuk tidak berkongsi secara terperinci mengenai perpisahan dengan bekas suami disebabkan perlu menjaga sensitiviti dan hati banyak pihak termasuk ahli keluarga terdekat.
Kisah perpisahan bukan satu hal yang indah untuk dikongsi kepada umum, begitulah yang diungkapkan oleh pelakon yang popular menerusi drama Fatonah Azali itu.
“Banyak hati perlu dijaga malah keluarga sendiri tidak gembira jika saya bercerita terlalu banyak.

“Perceraian adalah kisah yang sedih dan tidak penting pun untuk dikongsi. Lebih baik banyak bercerita perihal kerjaya,” tuturnya yang pernah menyangkal dakwaan keruntuhan rumah tangganya disebabkan pihak ketiga.
Sekiranya ditakdirkan akan bergelar seorang isteri sekali lagi satu hari nanti, harapannya agar rumah tangga yang dibina akan kekal ke akhir hayat.
“Jika ditakdirkan ada perkahwinan kali kedua, berdoalah agar berjaya mengharungi kehidupan rumah tangga sampai bila-bila.
“Cuma setakat ini, saya tidak terfikir pun ke arah itu. Kini saya berada dalam fasa hanya ingin bekerja serta melakukan semua perkara yang belum tertunai,” katanya lagi.

Sengaja tayang
Hampir dua bulan memegang status janda, pelakon bertubuh genit itu juga tidak mampu menepis gosip netizen dek keakrabannya bersama Ungku Ismail.
Lebih menguatkan andaian apabila pelakon drama Dendam Seorang Isteri itu sakan berkongsi momen ketika mereka sama-sama bercuti di Bali, Indonesia baru-baru ini.
Enggan membiarkan netizen terus hanyut dengan khayalan yang aneh-aneh, Nad menjelaskan bahawa hubungannya bersama pelakon naskhah Teman Lelaki Upahan itu hanya atas urusan kerja.
“Kami sebenarnya sedang mengusahakan sebuah saluran YouTube miliknya iaitu Ungku Ismail Aziz yang berkaitan tentang travelog.
“Perihal percutian ke Bali baru-baru ini, saya hendak tegaskan kami pergi untuk urusan kerja. Saya tidak pergi berseorangan sebaliknya ditemani pengurus,” ujarnya yang akan ke Phuket, Thailand dan Seoul, Korea Selatan atas tujuan sama.
Kongsi Nad lagi, dia memang sengaja ‘menjaja’ momen mesra bersama pelakon berusia 36 tahun yang buat pertama kali bekerjasama dengannya dalam drama bertajuk, Cina Buta.
“Saya tak ada nak berselindung. Memang saya kongsi semua dalam media sosial. Memang kami sengaja ‘kantoikan’ diri supaya orang tengok,” jelasnya.
Ditanya tentang sifat pemilik nama lengkap Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz itu yang dikatakan sukar didekati wanita, Nad tidak menemukan jawapan konkrit.
“Kami ada misi dan visi yang sama. Ungku lelaki yang ada misi sendiri dan sangat bekerja keras. Sementara saya pula minat menulis dan mengarah. Jadi kami ada persamaan.
“Selain pemikiran, cara kerja juga sama malah ada perancangan untuk terbitkan telefilem bersama-sama,” tuturnya lagi.

Rebutan pengarah
Tolak ke tepi perihal peribadi, ibu kepada dua cahaya mata itu dilihat antara pelakon yang semakin laris menjadi buruan rumah produksi.Malah, dia juga dikatakan menjadi rebutan pengarah yang dahagakan persembahan cemerlangnya.
“Saya anggap menjadi ‘rebutan pengarah’ ini sebagai rezeki. Fasa yang paling saya selesa ialah dua tahun kebelakangan ini.
“Sebelum ini saya pernah melalui pengalaman ditolak kerana tidak ada kekuatan dari aspek peminat dan media sosial.
“Saya tak ambil negatif pun hal tersebut sebab tujuan utama bekerja sebagai anak seni untuk menyara keluarga dengan menggunakan bakat yang dianugerahkan Tuhan,” ujarnya.
Lumrah menjad pelakon, pasti akan menjadi selektif dalam menerima sebarang tawaran watak, namun berbeza buat Nad.
“Saya takut nak pilih watak atau naskhah sebab ini punca rezeki utama. Saya tiada lain selain berlakon.
“Saya mahu jadi versatil dan sangat tekankan kualiti skrip, kemudian watak dan produksi.
“Sebab itu saya kurang ambil watak yang berulang. Tak mahu orang bosan dengan lakonan saya,” tutup Nad.















