fbpx

Arab Saudi selar AS, nafi politikkan minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA OPEC dan sekutu-sekutu mereka bersetuju untuk mengurangkan bekalan minyak dunia kepada 2 juta tong sehari pada 5 Oktober lalu. - AFP

RIYADH – Arab Saudi memberitahu Amerika Syarikat (AS) bahawa tindakan menangguhkan keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu-sekutunya untuk mengurangkan pengeluaran minyak akan membawa kesan negatif kepada dunia, lapor akhbar Arab News semalam.

OPEC dan 10 sekutunya diketuai oleh Russia telah bersetuju untuk mengurangkan bekalan minyak dunia kepada sebanyak 2 juta tong sehari pada 5 Oktober lalu.

Presiden AS, Joe Biden yang cuba menghalang Russia daripada mengaut keuntungan daripada penjualan minyak bagi meredakan perang di Ukraine, menyifatkan keputusan itu sebagai ‘mementingkan diri sendiri’ dan akan menjejaskan hubungan baik antara Washington dan Riyadh. 

Sebagai tindak balas, Kementerian Luar Arab Saudi menafikan dakwaan bahawa Riyadh berpihak kepada Russia dalam konflik atau menyokong langkah mengehadkan pengeluaran atas sebab  politik.

“Kerajaan Arab Saudi menjelaskan melalui rundingan berterusan dengan Pentadbiran AS bahawa penangguhan keputusan OPEC selama sebulan akan memberikan kesan negatif dari sudut  ekonomi,” jelas kenyataan itu.

Kerajaan Arab Saudi juga menolak kenyataan yang mengkritiknya selepas keputusan OPEC pada minggu lalu untuk mengurangkan bekalan minyak dunia.

Menurut kementerian itu, perjanjian antara negara-negara OPEC adalah sebulat suara dengan tujuan mengimbangi bekalan dan permintaan untuk mengekang kadar turun naik harga  pasaran. 

“Arab Saudi tidak mempolitikkan minyak. Kami tidak melihat minyak sebagai senjata. Objektif kami adalah untuk membawa kestabilan kepada pasaran minyak. 

“Rekod kami sangat jelas mengenai perkara ini bukan sejak beberapa minggu lalu tetapi beberapa dekad yang lalu,” kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir dalam temu bual bersama CNN. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI