PETALING JAYA – Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) menganjurkan sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur hari ini.
Pengarah Hal Ehwal Korporat DLMI, Muhammad Abdul Hadi Abdullah berkata, program yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemakanan kanak-kanak di negara ini.
“Kekurangan zat makanan memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal dan kognitif kanak-kanak dan mempengaruhi potensi negara membangun.
“Jadi DLMI seperti yang disarankan kerajaan, sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi mencari penyelesaian tersebut untuk jangka masa panjang,” katanya.
DLMI katanya, berharap agar sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia ini akan membina kesedaran dalam kalangan guru, ibu bapa dan kanak-kanak tentang kepentingan tenusu untuk kanak-kanak.
“Penting ada kesedaran yang menggalakkan tabiat sarapan pagi yang betul dengan susu serta amalan pemakanan yang lebih baik.
“Ini penting kerana kanak-kanak memerlukan kalsium dan vitamin D yang diperkaya dalam produk tenusu DLMI,” katanya.
Sejak 2011, DLMI telah mengagihkan 165 juta pek susu kepada 4.3 juta pelajar di seluruh negara.
Di bawah Program Susu Sekolah 2022 pula, DLMI giat membekalkan produk susu Dutch Lady berkualiti kepada murid-murid sekolah rendah menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dianggarkan menjelang akhir program ini pada 2023, DLMI akan membekalkan hampir 22 juta pek produk susu kepada lebih 115,000 kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia. – KOSMO! ONLINE