fbpx
Tiga wanita teruja bermain permainan realiti maya yang terdapat di Taman Permainan D-Virtual Park di pusat beli-belah EVO di Bandar Baru Bangi.

‘Pertarungan’ mendebarkan dalam taman realiti maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS cermin mata realiti maya (VR) dipasang di kepala, perasaan Amirul Aizat Shafiq Zainal, 28, mula berdebar-debar.

Pandangannya kini tertumpu sepenuhnya ke paparan realiti maya yang terdapat di hadapannya dan ia sangat berbeza berbanding visual biasa.

Sambil menggerakkan kepalanya ke sekeliling arah untuk melihat keadaan sekitarnya, dia kini menyedari bahawa dirinya sudah berada di dalam alam maya dan segala pergerakannya sangat bergantung kepada apa yang dilihatnya.

“Inilah kali pertama saya bermain permainan VR dan ia sangat berbeza, berbanding bermain permainan menggunakan telefon pintar atau menggunakan konsol.

“Di dalam alam VR, segala pergerakan kita seakan-akan nyata dan kita seolah-olah berada di dalam alam maya tersebut.

“Walaupun kadangkala terasa seperti terawang-awang di dunia realiti, tetapi permainan dinamakan Beat Saber ini sangat menyeronokkan,” katanya ketika ditemui di Taman Permainan D-Virtual di pusat beli-belah EVO di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Taman itu merupakan taman realiti maya dilengkapi teater hologram pertama di Semenanjung Malaysia. Terdahulu, pada tahun 2020, taman seumpamanya telah dibina oleh pihak yang sama di Kota Samarahan, Sarawak.

Menurut laporan media, projek di Kota Samarahan itu telah dibangunkan oleh syarikat Serba Dinamik Group Bhd. dengan pelaburan berjumlah RM13 juta.

Kini, bermula 11 Januari tahun lalu, keseronokan taman tersebut dibawa ke Semenanjung iaitu di Bangi, Selangor.

Amirul Aizat yang bekerja di Johor Bahru, Johor berkunjung ke pusat permainan realiti maya di Bangi itu bersama rakannya. Mereka telah menghabiskan masa kira-kira dua jam untuk meneroka beberapa jenis permainan di situ.

Terdapat 10 jenis mesin permainan yang ditawarkan di taman realiti maya ini.

Di satu sudut lain pula, tiga rakan sekuliah dari Universiti Kuala Lumpur, Nor Amirah Zakaria, Nuresya Damia Roshaisyam dan Nur Shafikah Rashid, kesemuanya berusia 20 tahun sedang beraksi dalam permainan Matrix Space.

Dengan memegang senapang, kesemua mereka sedang bertarung di alam realiti maya untuk memusnahkan kesemua zombi yang ada di dalam sebuah bangunan kosong.

“Permainan VR ini sangat menyeronokkan kerana kita akan berasa seolah-olah bersatu dengan dunia maya yang dipaparkan di hadapan layar cermin mata VR.

“Jika permainan Matrix Space memerlukan kami berperang dengan zombi, permainan VR Battleship agak berbeza kerana kami perlu duduk di dalam tempat khas seperti sebuah kenderaan sebelum dipakaikan cermin mata VR.

“Kami juga boleh memilih jenis paparan yang diingini dan paparan yang kami pilih sangat mendebarkan kerana terasa seolah-olah terpelanting dari sebuah mesin permainan di tempat tinggi dan jatuh ke tanah.

“Walaupun ia sekadar permainan, tetapi dengan teknologi VR, ia seperti benar-benar berlaku dan memang menguji tahap keberanian kami,” jelas Nur Amirah mewakili rakan-rakannya.

Taman Permainan D-Virtual yang terletak di Bandar Baru Bangi itu telah memulakan operasi sejak 11 Januari tahun lalu.

Sejenis permainan berbentuk kenderaan yang boleh dimainkan secara beramai-ramai.

Pembukaannya bukan saja telah menjadi satu tarikan baharu kepada penduduk di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampirannya untuk berkunjung ke taman permainan itu, tetapi turut memberi peluang orang ramai untuk mencuba permainan berkonsep realiti maya.

Menurut Eksekutif Kanan Projek Khas Virtual Park, Dr. Mohamed Ackiel Mohamad, walaupun taman permainan itu memulakan operasinya ketika negara sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, namun ia tidak terlalu mempengaruhi operasi mereka.

Malah kata beliau, amalan sanitasi yang dilakukan sepanjang PKP sebenarnya menyamai prosedur operasi standard yang diamalkan pihaknya dalam memastikan setiap peralatan dan mesin permainan yang digunakan sentiasa bersih dan selesa untuk digunakan oleh setiap pelanggan.

Mengulas mengenai tujuan pusat permainan realiti maya itu dibuka, jelas Mohamad Ackiel, ia bertujuan untuk merealisasikan objektif syarikat dalam mengetengahan aspirasi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang sedang berlaku pada ketika ini.

“Selain menyokong ledakan revolusi industri yang berlaku ketika ini, kami juga memberi keutamaan kepada teknologi-teknologi baharu digital yang boleh memberi pengalaman terkini dan berbeza kepada pengunjung kami.

“Pihak pengurusan juga memilih membuka Taman D-Virtual ini sebagai satu platform untuk memajukan pembangunan dan penyelidikan kandungan VR buatan sendiri,” katanya.
Menurut beliau lagi, menerusi VR, pengunjung dapat merasai pengalaman bermain permainan video di dalam dimensi yang berbeza, sekali gus dapat meningkatkan perasaan immersive iaitu pemain berasa seolah-olah berada di lokasi realiti maya tersebut.

D-Virtual Park di Bangi ini merupakan taman realiti maya dengan teater hologram pertama di Semenanjung Malaysia.

Malah katanya, pengunjung juga akan dapat merasai keadaan persekitaran sekeliling yang berbeza dan ini dapat meningkatkan emosi, kepekaan deria dan pengalaman dalam bermain permainan yang dipilih.

Terdapat 10 jenis mesin VR yang disediakan di Taman Permainan D-Virtual itu iaitu VR D’Battleship, VR Knight Rider, VR Trekker, VR Gatling Gun, VR Elevation Deluxe, VR Giant Slide, VR Gyrate, VR Quad Squad, AR Racing dan Hologram Theatre.

“Pada setiap satu jenis mesin ini, terdapat antara empat sehingga enam pilihan permainan boleh dipilih oleh setiap pemain dengan setiap satunya memaparkan skrin berbeza dan menyediakan pengalaman juga berbeza.

“Pelanggan juga boleh bermain permainan secara individu atau berkumpulan di mana mereka boleh berkerjasama atau bertanding sesama sendiri,” ujarnya.

Tambah Mohamed Ackiel lagi, bagi meningkatkan penggunaan teknologi digital, taman permainan itu menggunakan bayaran mesin berkonsep ‘coin’ atau token.

“Semua mesin permainan VR di taman permainan ini selamat untuk digunakan dan dimainkan oleh semua golongan usia termasuk kanak-kanak.

“Cuma untuk beberapa jenis mesin sahaja, ia memerlukan ketinggian minimum bagi keselesaan pemain ketika bermain, selain bagi meningkatkan tahap keselamatan pengunjung ketika bermain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN