fbpx

Mahkamah: 19 Oktober pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Oktober bagi pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencabar Jabatan Penjara Malaysia (JPM) yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas peguam persekutuan, M. Kogilambigai yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti permohonan yang difailkan Najib selaku pemohon.

“Sekiranya terdapat bantahan (berhubung permohonan) pihak kami akan memaklumkan kepada mahkamah,” katanya ketika pengurusan kes itu di sini hari ini.

Semasa prosiding, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mencadangkan agar permohonan itu didengar pada 14 Oktober dengan menegaskan bahawa terdapat isu undang-undang yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Ia termasuk sama ada Najib boleh dicalonkan untuk bertanding semula untuk pilihan raya atau tidak.

Pada 5 Oktober lalu, Najib, 69, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar JPM yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.

Menurutnya, Najib memohon dua pengisytiharan iaitu diberikan kebenaran akses kepada pegawai parlimennya bagi menjalankan fungsi beliau sebagai ahli parlimen dan dibenarkan hadir sidang Dewan Rakyat.

Dalam notis usul yang diperoleh, Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan responden ketiga yang tidak membenarkan Najib selaku pemohon untuk bertugas dan hadir ke Parlimen pada tarikh yang dijadualkan.

Terdahulu peguam Muhammad Shafee dalam sidang medianya berkata JPM menolak permohonan Najib untuk menghadiri persidangan Parlimen.

Menurut Muhammad Shafee pihaknya telah mengemukakan permohonan bagi membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu ke Parlimen pada 19 September lalu namun JPM telah menolak permohonan tersebut.

Tambah Muhammad Shafee lagi, Najib masih lagi seorang ahli parlimen dan sepatutnya dia diberikan hak untuk hadir pada sidang parlimen yang mana hak untuk berjumpa dengan wakil dan rakyat di kawasannya.

Najib kini menjalani penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Penjara Kajang dalam kes dana SRC International Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI