fbpx

Kegiatan simpan minyak diesel bersubsidi di Selangor tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barangan yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong, Selangor baru-baru ini. - Ihsan KPDNHEP

PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, kejayaan itu hasil serbuan ke atas sebuah premis tanpa nombor dan beralamat di sekitar Taman Industri Selesa Jaya, Balakong, Selangor.

“Lokasi itu disyaki dijadikan sebagai tempat bagi aktiviti pemindahan diesel bersubsidi dan stor simpanan minyak itu tanpa kebenaran.

“Serbuan telah dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa kementerian dari ibu pejabat Putrajaya pada pukul 3 petang hasil daripada risikan beberapa hari sebelum itu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya, ketika pemeriksaan, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 30-an bersama-sama seorang lelaki bukan warganegara mengaku sebagai pekerja ditahan di premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan telah menemukan minyak diesel dianggarkan berjumlah 9,000 liter dengan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

“Premis itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah daripada pihak kementerian di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” tegasnya.

Sehubungan itu, jelasnya, pihaknya bertindak menyita minyak tersebut, sebuah lori, peralatan penyambungan dan beberapa dokumen perniagaan berkaitan.

“Nilai keseluruhan rampasan berkaitan barang kawalan berjadual itu dianggarkan berjumlah RM99,350 manakala dua individu yang ditahan akan membantu proses siasatan.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti punca bekalan diperoleh dan diedarkan termasuk pendakwaan di mahkamah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI