fbpx
Tengku Zafrul (tengah) menunjukkan Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bajet 2023 bukan bajet PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu bukan bajet pilihan raya sebaliknya ia satu komitmen yang bertanggungjawab dan reformis.

MOF menerusi kenyataan hari ini berkata, jika benar ia bajet pilihan raya, maka tentunya tiada kritikan negatif langsung daripada pihak berkepentingan.

“Bajet pilihan raya kebiasaannya lebih memberatkan langkah-langkah jangka pendek sedangkan Bajet 2023 pula menekankan keperluan membina daya tahan bagi menempuh cabaran jangka sederhana dan panjang,

“Bajet 2023 juga berdepan dengan kekangan fiskal akibat peningkatan perbelanjaan bagi menangani impak pandemik sejak dua tahun lalu,” katanya.

Katanya, Bajet 2023 juga masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen yang bakal bersidang semula selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelas MOF lagi, Bajet 2023 perlu dibentangkan bagi perancangan kewangan yang teratur, iaitu anggaran pendapatan, peruntukan dan perbelanjaan untuk tahun 2023.

Menurutnya, usaha menyiapkan Bajet 2023 juga mengambil masa enam bulan membabitkan lebih 200 sesi libat urus bersama pihak berkepentingan serta mengkaji lebih 250 memorandum dan 12,000 cadangan.

“Justeru, pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu tidak sia-sia kerana ia akan dibentangkan semula kepada Parlimen selepas PRU-15.

“Malah, kerajaan baharu boleh bersandar kepada proses libat urus yang lebih komprehensif dan menyeluruh dalam merangka persiapan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat rakyat, perniagaan dan ekonomi,” katanya.

Katanya, berdasarkan rujukan pengalaman lalu, Bajet 2000 telah dibentangkan dan Parlimen telah dibubarkan sebelum ia diluluskan namun, bajet itu terpaksa dibentangkan semula pada Februari 2000 sebelum diluluskan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR