fbpx
KEADAAN terkini kawasan Lata Celak, Baling yang berubah menjadi tapak kuari pasir bagi mendalamkan dasar sungai ekoran kejadian kepala air dan banjir lumpur pada Julai lalu.

Lata Celak kini jadi tapak kuari pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Kalangan penduduk di Kupang hanya mampu memendam rasa apabila Lata Celak di Kampung Iboi, di sini yang dahulunya menjadi tumpuan ramai untuk berkelah lenyap sepenuhnya selepas kejadian kepala air dan banjir lumpur pada 4 Julai lalu.

Tinjauan Kosmo! di jajaran Sungai Kupang itu mendapati, lokasi yang paling terjejas teruk akibat kepala air kini dijadikan tapak kuari pasir.

Pada masa ini, operasi pengeluaran pasir bagi mendalamkan sungai itu adalah di bawah Permodalan Kedah Berhad.

Jika dahulu, terdapat batuan dalam aliran sungai tersebut selain kawasan sekitar redup kerana ditumbuhi pokok-pokok hutan.

Namun, kini landskap tapak Lata Celak berubah sepenuhnya apabila bahagian kiri dan kanan sungai dipenuhi timbunan pasir yang dipercayai dibawa arus deras dari Gunung Inas.

Menurut penduduk Kampung Iboi, Abdullah Ahmad, 66, yang dikenali dengan nama panggilan Pak Su, penduduk di situ sangat terkesan apabila kawasan perkelahan Lata Celak yang menjadi antara lokasi tercantik di Baling musnah begitu sahaja.

“Sebenarnya sungai di Lata Celak ini mula keruh sejak aktiviti pembalakan bermula sekitar 2010.

“Penduduk hanya mampu pendam rasa apabila lihat air sungai keruh dan pengunjung yang datang berkelah ke Lata Celak juga semakin berkura­ngan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini kelmarin.

KAWASAN perkelahan Lata Celak yang dahulunya menjadi tumpuan ramai untuk mandi-manda kerana air jernih dan kawasan persekitaran yang redup.

Katanya, Lata Celak terkenal kerana air sungainya yang jernih sehingga pengunjung boleh me­ngira batuan di dalamnya.

“Apabila ada pengunjung, penduduk boleh cari pendapatan dengan berniaga kedai makan di kawasan Lata Celak ini, namun selepas air sungai kotor, orang tak datang dan peniaga pun terpaksa tutup kedai,” ujarnya.

Menurut Pak Su, penduduk kampung juga hilang pendapatan apabila tidak lagi dapat mencari hasil hutan seperti petai, kerdas dan rotan.

“Jika dahulu, apabila tiba musim hujan, penduduk tidak dapat menoreh getah dan akan masuk ke hutan di kawasan Gunung Inas untuk cari petai, kerdas dan rotan untuk dijual, boleh juga tampung belanja harian.

“Bagaimanapun, semuanya hanya tinggal kenangan selepas kawasan berkenaan lenyap akibat pembalakan. Saya rasa sa­ngat sedih dan pilu, cuba bayangkan apa perasaan jika ada orang roboh rumah kita?,” soalnya.

Penduduk Kampung Padang Empang, Abd. Wahab Samah, 70, pula berkata, air sungai yang mengalir di tepi rumahnya juga keruh seperti air teh.

“Selain Lata Celak, rakan dan saudara mara juga datang berkelah di Sungai Kupang di tepi rumah saya ini.

“Selepas aktiviti pembalakan di gunung tersebut, tiada lagi yang sanggup nak mandi di sungai ini. Sedih kerana Lata Celak yang penduduk banggakan kerana airnya jernih sudah tiada,” katanya.

Selain itu, katanya, dia juga tidak lagi dapat mengusahakan sawah seluas kira-kira 30 hektar selepas aliran air di situ kotor.

“Dahulu masa saya usahakan sawah, saya boleh dapat kira-kira RM30,000 semusim. Selepas air keruh, saya tukar kepada tanaman pisang, namun ia juga musnah selepas kejadian kepala air dan banjir lumpur pada Julai lalu,” tambahnya.

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, tiga sekeluarga maut, manakala lebih 1,000 rumah dari 40 kampung di Kupang terjejas dalam kejadian kepala air atau ­aliran puing dan banjir lumpur.
Kawasan sama sekali lagi dilanda arus deras dan banjir pada 28 Julai dan 6 September lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN