PETALING JAYA – Sidang Dewan Rakyat yang dijadual bersambung esok tidak akan diteruskan susulan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.
Perkara itu disahkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut beliau, Sidang Dewan Rakyat akan kembali diadakan selepas Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas kerajaan baharu ditubuhkan.
“Tiada lagi sidang (Dewan Rakyat) sebab dah bubar habislah. Tak boleh bersidang lagi.
“Perdana Menteri ketika itu (selepas PRU-15) akan maklumkan Parlimen yang baharu dan persidangan pertama penggal pertama. Beliau juga (Perdana Menteri) akan maklum perkara itu kepada saya,” ujarnya.
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi pada memberi laluan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri menerusi satu perutusan khas yang diadakan secara langsung di beberapa stesen televisyen dan semua platform media sosial.
“Dengan ini saya ingin memaklumkan bahawa tengah hari semalam saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Oleh itu, Seri Paduka Baginda telah memperkenankan permintaan saya bahawa parlimen dibubarkan hari ini pada Isnin, 10 Oktober 2022,” katanya pada sesi perutusan khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini. – KOSMO! ONLINE.














