fbpx

Rahmad Mega julang trofi Terpaling Juara musim pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahmad Mega bersyukur apabila kemenangan memihak kepadanya pada pentas final Terpaling Juara musim pertama yang berlangsung sebentar tadi.

SHAH ALAM – Selepas lapan minggu bersaing, penyanyi Rahmad Mega menepati ramalan
ramai apabila dijulang selaku juara program realiti terbaharu terbitan TV3, Terpaling Juara musim pertama sebentar tadi.

Pentas final yang bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini menyaksikan Rahmad membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM100,000 berserta trofi.

Pada persembahan final, vokalis kumpulan Mega itu membawakan lagu Ku Akui dendangan asal Hafiz Suip untuk segmen solo.

Bagi segmen duet bersama kapten sendiri iaitu Hael Husaini, Rahmad, 52, menyampaikan lagu rock popular kumpulan Wings, Di Penjara Janji.

“Terima kasih dan syukur tidak terhingga atas kemenangan ini. Saya telah mencipta titik baharu dalam kerjaya pada malam Maulidur Rasul,” katanya usai diumumkan sebagai pemenang sebentar tadi.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi peserta junior bawah kendalian kapten Naim Daniel iaitu Aqmal Ramdan, 25.

Aqmal yang bersaing dengan membawakan lagu Sampai Syurga untuk segmen solo dan Di Amaran Mama (duet bersama Naim Daniel), memenangi hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Bagi tempat ketiga, penyanyi Hazami pulang dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Penyanyi itu membawakan lagu Luluh (solo) dan Joget Angan Tak Sudah untuk duet bersama Akim Ahmad.

Peserta junior bawah kendalian Hael iaitu Shaz pula hanya berpuas hati di tempat keempat dengan hadiah kemenangan RM10,000 dan trofi.

Terpaling Juara yang merupakan program realiti format baharu terbitan TV3 yang menyaksikan persaingan seramai enam orang peserta bawah kendalian tiga orang kapten.

Setiap kapten yang terdiri daripada Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel mempunyai dua orang peserta iaitu senior dan junior, menjadikan jumlah peserta keseluruhan program tersebut seramai enam orang.

Format pertandingan Terpaling Juara bertemakan senarai lagu Anugerah Juara Lagu (AJL) yang diberi nafas baharu.

Musim pertama Terpaling Juara memulakan saingan pada 21 Ogos lalu menyaksikan dua peserta iaitu penyanyi Ifa Raziah (kapten Naim) dan Aqeesh Aleeya (Akim) tersingkir.

Program yang bersiaran setiap Ahad pukul 9 malam tersebut diadili oleh barisan juri profesional tetap iaitu Datuk Hattan dan Fauziah Latiff.

Malam final menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai juri undangan istimewa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI